Pemimpin DAP sangkal dakwaan terbabit isu salah laku, integriti

Pemimpin DAP sangkal dakwaan terbabit isu salah laku, integriti

Setiausaha Organisasi DAP Selangor Tiew Way Keng tegaskan beliau menjalankan tanggungjawab ikut undang-undang sepanjang menjadi ahli MBPJ.

Tiew Way Keng sedia ambil tindakan undang-undang jika Jenice Lee Ying Ha terus melontarkan fitnah berkait dakwaan salah laku ketika menjadi ahli majlis.
PETALING JAYA:
Pemimpin DAP Tiew Way Keng menegaskan beliau menjalankan tanggungjawab mengikut undang-undang sepanjang menjadi ahli Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) 15 tahun lalu.

Sehubungan itu, Tiew berkata tidak timbul dakwaan beliau terbabit salah laku sepanjang memegang jawatan seperti didakwa bekas Adun Teratai Jenice Lee Ying Ha yang mempersoalkan pelantikannya sebagai ahli Dewan Negara.

Pada 26 Feb, DUN Selangor meluluskan usul memilih Tiew sebagai senator mewakili negeri itu bagi tempoh tiga tahun.

Tiew mewakili DUN Teratai bawah Parlimen Pandan dari 2013 hingga 2018, menggantikan Jenice yang berkhidmat bagi penggal sebelum itu (2008 hingga 2013).

“Saya nak tegaskan saya telah jalankan tanggungjawab mengikut undang-undang dan prosedur pada setiap masa.

“Kalau dia (terus) nak lontarkan apa-apa kenyataan fitnah, saya akan jumpa dia di mahkamah,” kata Tiew kepada FMT.

Beliau mengulas laporan sebuah portal memetik kenyataan Jenice yang mempersoalkan pelantikan Tiew sebagai ahli Dewan Negara kerana mendakwanya terpalit isu integriti dan salah guna kuasa ketika menjadi ahli MBPJ.

Jenice mendakwa, Tiew didakwa terlibat dalam meluluskan tender kutipan hutang bagi pihak MBPJ dengan harga 366% lebih tinggi kepada sebuah firma guaman milik seorang Ahli Parlimen DAP.

Menurut bekas ahli DAP itu, ia menunjukkan masalah integriti Tiew yang jelas melanggar prinsip parti mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.