
Ia susulan kontroversi baju atlet negara, Lee Zii Jia, yang memaparkan bendera Malaysia secara terbalik, pada perlawanan pertamanya di Perlawanan Akhir Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia 2024, 11 Dis lalu.
“Kementerian akan bekerjasama dengan Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Paralimpik Malaysia dan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) untuk menyediakan garis panduan penyediaan pakaian atlet negara yang melibatkan penggunaan bendera Malaysia,” kata Menteri Hannah Yeoh.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Terengganu), mengenai langkah diambil KBS supaya isu seperti bendera terbalik pada pakaian atlet tidak berulang.
Dalam pada itu Yeoh memaklumkan bahawa PSK bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada penaja mengenai syarat penajaan atlet yang mewakili negara, termasuk dari segi pemakaian.
Pada 11 Dis lalu penaja Zii Jia, Victor, membuat permohonan maaf berhubung kesilapan meletakkan bendera Malaysia secara terbalik.
Victor menjelaskan ia tidak menggambarkan rasa hormat yang mendalam terhadap Malaysia, simbol kebangsaan, atau kebanggaan dan kehormatan mewakili negara di pentas antarabangsa.