Kami tiada kaitan penemuan, siasatan terhadap Ismail, kata Umno

Kami tiada kaitan penemuan, siasatan terhadap Ismail, kata Umno

Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki berkata Umno tidak teragak-agak ambil tindakan undang-undang terhadap pihak sengaja kaitkan parti itu.

DATUK DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
Asyraf Wajdi Dusuki berkata Umno berpendirian SPRM harus diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus, bebas, dan adil tanpa sebarang gangguan.
PETALING JAYA:
Umno menegaskan parti itu tidak mempunyai kaitan dengan penemuan dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas naib presidennya Ismail Sabri Yaakob.

Setiausaha Agung, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Umno memandang serius sebarang cubaan untuk mengaitkan parti itu dengan siasatan yang melibatkan penemuan sejumlah besar wang tunai dan jongkong emas di rumah individu tertentu.

Katanya, Umno berpendirian SPRM harus diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus, bebas, dan adil tanpa sebarang gangguan.

“Umno juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang sengaja mengaitkan, menuduh, atau mencipta persepsi bahawa parti ini mempunyai hubungan dengan kes yang sedang disiasat,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berdepan siasatan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram, sepatutnya hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya semalam untuk rakaman percakapan namun ditangguhkan ke esok selepas memberi sijil sakit kerana tidak sihat.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata Ismail dipanggil atas kapasiti sebagai suspek dan bukan saksi bagi kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM.

Bagaimanapun, beliau berkata proses rakaman percakapan itu bergantung kepada tahap kesihatan Ismail.

Ismail dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada 22 Feb lalu selepas dikatakan pengsan dan tidak sedarkan diri.

Azam juga berkata, wang tunai RM170 juta dan jongkong emas bernilai RM7 juta dirampas dari beberapa premis dipercayai digunakan sebagai ‘safe house’ oleh proksi disyaki.

Ahli Parlimen Bera itu kali pertama dipanggil pada 19 Feb, telah mengisytiharkan aset yang menjadi sebahagian siasatan atas perbelanjaan dana untuk tujuan promosi dan publisiti ketika menjadi perdana menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Menurut Azam, 13 akaun melibatkan sekitar RM2 juta dibekukan, namun akaun Yayasan Keluarga Malaysia tidak dibekukan kerana ia akaun institusi yang aktif, bukan peribadi.

Katanya, akaun Ismail kekal bawah siasatan dan setakat ini 31 saksi disoal siasat dengan ‘sekurang-kurangnya dua ke tiga orang’ adalah ahli politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.