
R Rajagopal, yang pernah berkhidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berkata, pada awal 2015 beliau ditugaskan menyiasat laporan polis dibuat pengkritik 1MDB, Khairuddin Abu Hassan.
Katanya, Khairuddin mahu polis menjalankan siasatan mendalam terhadap kakitangan dan pengarah 1MDB berhubung beberapa transaksi tertentu.
Antara transaksi disiasat ialah pemindahan USD700 juta kepada sebuah syarikat yang tidak mempunyai sebarang hubungan perniagaan dengan 1MDB.
Sebelum ini, mahkamah diberitahu pada 2009, 1MDB menandatangani perjanjian usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI), dan berdasarkan syarat kontrak, 1MDB perlu menyediakan USD1 bilion untuk usaha sama itu.
USD1 bilion sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun usaha sama 1MDB-PSI tetapi hanya USD300 juta dipindahkan ke akaun itu, manakala USD700 juta lagi dipindahkan ke Good Star Limited.
Hari ini, Rajagopal memberitahu mahkamah bahawa siasatan beliau menunjukkan bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas eksekutif Casey Tang Keng Chee, bekas ketua pegawai kewangan Azmi Tahir, dan bekas penasihat undang-undang Loo Ai Swan terlibat dalam penyediaan dokumen serta pelaksanaan pemindahan USD700 juta itu.
“Siasatan mendapati Good Star dimiliki oleh (ahli perniagaan dalam buruan) Jho Low (Taek Jho) dan ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan PetroSaudi,” katanya.
Sepanjang siasatan, Rajagopal berkata beliau merekodkan kenyataan Tang di Bangkok sembilan tahun lalu.
“Peguam Casey (Tang), Selva Mookiah, meminta kami pergi ke kedutaan Malaysia di Bangkok, dan Selva turut hadir semasa rakaman kenyataan itu dibuat,” katanya.
Bagaimanapun, Rajagopal berkata polis tidak pernah merekodkan kenyataan Low berhubung transaksi USD700 juta tersebut.
Keistimewaan peguam-pelanggan
Terdahulu, peguam Najib Razak, Shafee Abdullah, memaklumkan mahkamah bahawa beliau menerima surat daripada 1MDB semalam yang menyatakan mereka tidak bersetuju untuk mengetepikan keistimewaan peguam-pelanggan terhadap dua bekas peguam syarikat itu.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata pihak pendakwaan turut dimaklumkan mengenai perkara itu.
Beliau menambah bahawa kedua-dua bekas peguam 1MDB itu masih boleh disapina sebagai saksi pembelaan, namun mereka tetap tertakluk kepada keistimewaan peguam-pelanggan.
Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion didakwa dimasukkan ke akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 17 Mac.