Siasat tanpa kira kedudukan, anggota Jemaah Menteri juga tak terlepas, tegas PM

Siasat tanpa kira kedudukan, anggota Jemaah Menteri juga tak terlepas, tegas PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim kata siasatan pihak berkuasa terhadap Ismail Sabri Yaakob selaras prinsip.

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim gesa pihak berkuasa diberi ruang untuk melakukan siasatan terhadap sesiapa pun.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata siasatan pihak berkuasa terhadap Ismail Sabri Yaakob selaras prinsip tanpa kira kedudukan.

Menurutnya, anggota Jemaah Menteri juga tidak terlepas daripada sebarang siasatan dan beliau tidak akan halang tindakan pihak berkuasa.

“Prinsipnya siasat tanpa kira kedudukan. Kalau kata mengapa tiada menteri, beritahu nama, beritahu di mana rumah dia simpan duit, dan saya tidak halang tindakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di Parlimen.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada akan berlaku rombakan Jemaah Menteri susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ismail, yang juga perdana menteri ke-9.

Pada 3 Mac lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan Ismail suspek bagi siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Anwar menggesa pihak berkuasa diberi ruang untuk melakukan siasatan secara profesional terhadap sesiapa pun jika ada maklumat yang berkaitan.

“Kalau jumpa ratusan juta di rumah kamu, tidak boleh siasat?” soalnya.

Anwar turut meminta masyarakat supaya menghormati proses undang-undang.

“Jangan kita menghukum sebelum selesai proses yang telus dan adil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.