Saman fitnah Anwar, Ahmad Amzad selesai luar mahkamah

Saman fitnah Anwar, Ahmad Amzad selesai luar mahkamah

Anwar Ibrahim pada 2022 fail saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Kuala Terengganu mengenai dakwaan berbohong gaji RM1 ketika menjadi penasihat ekonomi Selangor.

Anwar Ibrahim setuju menarik balik saman tanpa kos manakala Ahmad Amzad Hashim tarik balik tuduhan terhadap perdana menteri.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim bersetuju untuk menyelesaikan saman fitnah di luar mahkamah.

Saman itu berhubung dakwaan kenyataan berbaur fitnah bahawa Anwar berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi penasihat ekonomi Selangor.

Penyelesaian luar mahkamah direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Hassan Abdul Ghani hari ini.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan kesan saman fitnah dan kos perundangan selain lebih banyak isu perlu diberi perhatian.

Amzad daripada PAS juga menarik balik kenyataan dibuatnya pada 7 Dis 2022 dan Anwar menarik balik saman sivil itu tanpa sebarang kos.

“Anwar dan Amzad merakamkan penghargaan kepada hakim Mahkamah Tinggi dan pegawai-pegawai mahkamah yang terlibat.

“Berharap agar keputusan ini dapat diterima dan dihormati oleh semua pihak dan tidak dijadikan bahan yang boleh mengganggu-gugat kesejahteraan dan keharmonian negara.

“Dengan ini, secara persetujuan bersama, plaintif (Anwar) akan menarik balik saman fitnah tersebut tanpa kebebasan untuk memfailkan semula dan tanpa sebarang kos,” kata kenyataan dikeluarkan oleh Tetuan S N Nair & Partners yang mewakili perdana menteri.

Anwar diwakili peguam S N Nair, L Narendran dan Wong Guo Jin manakala Yusfarizal Yusoff serta Mohd Faizi Che Abu mewakili Amzad.

Pada 22 Dis 2022, Anwar memfailkan saman terhadap Amzad atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah bahawa beliau berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi penasihat ekonomi Selangor.

Dalam pernyataan tuntutan, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa pada 7 Dis tahun itu, defendan telah membuat beberapa kenyataan kepada sekumpulan pelanggan semasa menjamu selera di sebuah restoran.

Dakwa presiden PKR itu, kenyataan terbabit telah diterbitkan semula di aplikasi TikTok di bawah nama @nelly3868 pada hari sama (7 Dis) dan mendapat tontonan melebihi 4,980 kali, 62 komen, 116 butang ‘like’, 18 butang ‘favourite’ dan 50 kali perkongsian serta boleh diakses sehingga kini.

Anwar, yang juga menteri kewangan berkata kenyataan fitnah itu telah dipetik dan diterbitkan oleh Malaysiakini, keesokannya (8 Dis) menerusi artikel bertajuk ‘S’gor economic adviser job: Anwar seeks public apology from MP’.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau (Anwar) tidak boleh dipercayai serta tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada kerajaan negeri Selangor sebagai penasihat ekonomi, menipu orang ramai dengan menyatakan menerima gaji RM1 sebagai penasihat ekonomi serta melakukan kesalahan jenayah dan mengkhianati mandat rakyat.

Anwar mendakwa kenyataan fitnah itu palsu, berniat jahat dan memperlekehkannya yang mempunyai imej sangat disanjungi di peringkat negara dan antarabangsa kerana beliau menentang rasuah.

Beliau mengecam semua dakwaan terhadapnya mengenai penerimaan gaji RM15 juta dan tuduhan jenayah lampau yang dibuat itu adalah bermotifkan politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.