
Saifuddin juga berkata tindakan mereka memohon maaf itu merupakan satu ‘perkara yang baik’, lapor Bernama.
“Mereka menyedari bahawa ungkapan itu tak patut dikeluarkan atau perbuatan itu tak patut mereka lakukan tapi soalnya adalah ‘damage is done’,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Kata Saifuddin, kerana satu laporan polis dibuat, menjadi tanggungjawab polis untuk siasat perkara itu.
“Sama ada, ada asas untuk didakwa itu bergantung pada budi bicara Timbalan Pendakwa Raya.”
Beliau berkata insiden itu memberi satu pengajaran supaya setiap rakyat di negara ini supaya sentiasa sensitif terhadap agama lain.
Tiga penyampai itu, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Effendi Ahmad Aruani mencetuskan kontroversi selepas memuat naik video mempersendakan upacara kavadi yang biasanya dilakukan ketika perayaan Thaipusam.
Walaupun membuat kenyataan maaf semalam, trio itu digantung tugas bersama dua lagi kakitangan radio berkenaan.
Pada pagi ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyerahkan notis niat penggantungan lesen kepada stesen radio Era FM dan memberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain juga dilaporkan berkata polis sedang menyiapkan kertas siasatan kes itu sebelum ia diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat.
Setakat ini, sebanyak 44 laporan polis dibuat berkait video kontroversi itu.