
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata mesyuarat itu bagi mendapatkan pandangan dan pendirian parti serta membincangkan persoalan dasar yang timbul.
Perkembangan ini menyusuli mesyuarat 12 Feb lalu bersama jawatankuasa pilihan khas Parlimen, kementerian dan agensi kerajaan untuk membincangkan hala tuju dan kebolehlaksanaan RUU tersebut.
Menurut Azalina lagi, terdapat beberapa perkara dasar yang belum mencapai persetujuan sebulat suara, “seperti keperluan pendanaan awam kepada parti politik, had sumbangan dan entiti yang akan mengawal selia dana politik”.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang bertanya adakah kerajaan bercadang membentangkan Akta Pendanaan Politik di Parlimen sebelum PRU16.
Mengulas lanjut, Azalina melaporkan bahawa sehingga Feb 2025, sebanyak lima sesi libat urus diadakan bersama wakil parti politik.
Di samping mesyuarat bersama setiausaha usaha agung parti politik, kerajaan akan mendapatkan pandangan parti-parti politik melalui pihak universiti, “bagi memastikan keputusan yang diambil adalah inklusif dan melibatkan pelbagai perspektif.”
Pada 23 Jan lalu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, gesa kerajaan segera bawa draf undang-undang dana politik ke jawatankuasa Parlimen untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.
Beliau menulis di Facebook bahawa topik itu sudah dibincangkan beberapa kali sejak 2015.
Wan Saiful memaklumkan bahawa beliau sendiri merupakan ahli dua jawatankuasa yang dibentuk kerajaan, untuk membincangkan pembiayaan politik.