
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat berkata, kejadian 1.30 pagi di hadapan Sports Hub itu melibatkan kira-kira 20 individu yang menggunakan cota besi serta kayu besbol.
Menurutnya, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun berada bersendirian dalam kenderaan pacuan empat roda sebelum didatangi sekumpulan individu yang menyerang dan merosakkan kenderaannya.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka di siku kanan dan tapak tangan kiri akibat serpihan kaca,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca akibat pergaduhan dua kumpulan lelaki berhampiran sebuah premis makanan, yang menyebabkan kerosakan harta benda.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerugian atau kerosakan harta benda, serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata atau objek berbahaya.
“Kedua-dua kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182332 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.