‘PN dulu rakus ganti speaker, timbalan’, bidas pemimpin DAP

‘PN dulu rakus ganti speaker, timbalan’, bidas pemimpin DAP

Woo Kah Leong menyifatkan cadangan wakil PN untuk lantik timbalan speaker Dewan Rakyat daripada blok pembangkang sebagai hipokrit.

Woo Kah Leong bidas cadangan Ahli Parlimen Parit Buntar Mohd Misbahul Munir Masduki untuk lantik timbalan speaker Dewan Rakyat daripada blok pembangkang.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong menyifatkan cadangan seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) untuk melantik timbalan speaker Dewan Rakyat daripada blok pembangkang sebagai hipokrit.

Mengulas cadangan Ahli Parlimen Parit Buntar Mohd Misbahul Munir Masduki, Woo berkata beliau masih ingat ‘kerakusan’ pentadbiran Putrajaya diketuai PN yang pada 2020 cuba menggantikan Mohamad Ariff Md Yusof sebagai speaker dan timbalannya.

Ariff digantikan oleh bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun manakala Nga meletak jawatan.

Dakwa Woo, PN menggantung sidang Parlimen dengan alasan darurat akibat penularan Covid-19 tetapi boleh mengadakan sesi untuk menggantikan Ariff dan Nga selepas merampas kuasa melalui Langkah Sheraton.

“Memang muka tak malu bila sebut tentang ‘reform’ Dewan Rakyat apabila parti sendiri membinasakan demokrasi Dewan Rakyat.

“Sekarang melaungkan pula slogan untuk mereformasikan Dewan Rakyat?” kata Adun Pasir Bedamar dalam kenyataan yang turut mempersoalkan ketiadaan wakil pembangkang mengundi Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat semalam.

RUU itu turut menjadi asas kepada penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Misbahul daripada PAS meminta kerajaan memberi peluang kepada wakil pembangkang untuk menjadi timbalan speaker jika benar-benar mahu melaksanakan pembaharuan dalam Dewan Rakyat.

Menurutnya, tindakan itu akan menunjukkan ‘rentas parti’ sebenar oleh kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.