Pertelingkahan 2 pihak punca mesyuarat PKR Kuala Selangor kecoh, kata Fuziah

Pertelingkahan 2 pihak punca mesyuarat PKR Kuala Selangor kecoh, kata Fuziah

Setiausaha agung PKR itu menasihati ahli parti bertanding secara matang dan profesional dalam semangat kekeluargaan.

fuziah
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata pemilihan parti dijalankan secara dalam talian dan hanya sebahagian kecil mengundi secara fizikal. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata beliau percaya kekecohan yang berlaku pada mesyuarat tahunan PKR Kuala Selangor Sabtu lalu adalah pertelingkahan antara dua pihak yang akan bertembung dalam pemilihan parti tidak lama lagi.

“Nasihat saya bertandinglah secara matang dan profesional dalam semangat kekeluargaan,” katanya kepada FMT.

Fuziah juga memberi jaminan bahawa mesyuarat agung tahunan PKR Kuala Selangor itu sah kerana cukup syarat yang ditetapkan.

Katanya, sekiranya ada kes mahkamah biarlah mahkamah yang memutuskan manakala kes dalam parti akan ditentukan oleh lembaga disiplin.

Terdahulu hari ini, Ketua Polis Kuala Selangor, Azharudin Tajudin berkata seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kekecohan, termasuk dakwaan ugutan jenayah pada mesyuarat itu.

Katanya, suspek 45 tahun itu ditahan di sekitar Kuala Selangor kira-kira 4.15 petang Isnin lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua PKR Kuala Selangor Thiban Subbramaniam, berkata beliau membuat laporan polis pada Isnin berhubung kekecohan yang berlaku serta terhadap akaun telegram Edisi Siasat, yang menyiarkan video kejadian itu.

“Menjelang pemilihan parti, tindakan sabotaj untuk mencemarkan imej parti semakin kerap berlaku. Saya serahkan perkara ini kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Saya juga menyerahkan kepada pimpinan parti untuk menentukan sebarang tindakan terhadap individu yang terlibat,” katanya di Facebook.

Dalam pada itu, Fauziah berkata pengundian akan dijalankan secara dalam talian dan hanya sebilangan kecil mengundi secara fizikal.

Katanya, pengundi juga tidak dibenarkan berkumpul melebihi 20 orang pengundi di mana-mana tempat pada hari mengundi di seluruh negara.

PKR akan mengadakan pemilihan bagi kepimpinan peringkat cabang dan jawatankuasa pusat pada April dan Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.