
Anwar berkata, kerjasama Putrajaya dengan Arm akan membuka laluan bagi rancangan teknologi paling bercita-cita tinggi dalam sejarah, iaitu mempelopori cip AI ‘Buatan Malaysia’.
“Cip ini akan direka bentuk, dibuat, diuji dan dipasang di sini, dan dijual ke seluruh dunia. Ini menandakan peralihan penting dalam pendekatan kita terhadap semikonduktor dan teknologi yang akan menentukan masa depan kita.
“Hari Malaysia mulakan gelombang semikonduktor kedua akhirnya telah tiba,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan kontrak di sebuah hotel.
Selain menawarkan teknologi terkini merangkumi semua bahagian reka bentuk semikonduktor, Arm juga membuka pejabat pertamanya di Asean di Kuala Lumpur.
Menurut Anwar, kemasukan Arm ke Malaysia adalah selaras dengan Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS), yang dilancarkan tahun lepas, bertujuan meningkatkan taraf Malaysia melebihi hab pengeluaran, menjadi peneraju dalam kegiatan semikonduktor bernilai tinggi.
Selain pemasangan dan ujian, NSS mengutamakan reka bentuk litar bersepadu (IC), peralatan pembuatan semikonduktor, pembungkusan termaju dan proses bahagian depan (front-end), mengorak langkah untuk mengembangkan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
Dalam laporan Bloomberg hari ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, Malaysia akan membayar Arm, milik SoftBank Group Corp, sebanyak USD250 juta (RM1.11 bilion) dalam tempoh 10 tahun untuk memperoleh pelan reka bentuk cip syarikat itu bagi pengeluar tempatan.
Katanya, Putrajaya berharap pelan itu boleh digunakan untuk membantu syarikat tempatan mereka bentuk cip sendiri, dengan matlamat membolehkan negara mula mengeluarkan cip sendiri dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang.
Dalam ucapannya, Anwar juga berkata, semua agensi kerajaan yang berkaitan, pemain industri dan institusi pendidikan perlu memainkan peranan dalam memupuk bakat generasi akan datang untuk memacu industri semikonduktor negara.
“Semua jentera kerajaan mesti digerakkan untuk memastikan anak-anak kita mempunyai bakat dan set kemahiran yang diperlukan untuk mendapat manfaat daripada (syarikat) teknologi gergasi seperti Arm,” katanya.
Industri semikonduktor Malaysia telah menjadi pemain utama dalam rantaian bekalan elektronik global sejak 1970an, apabila kerajaan berusaha mempelbagaikan ekonomi dengan tidak lagi terlalu bergantung pada pertanian dan perlombongan.
Julai lepas, Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) berkata, pihaknya menyasarkan eksport semikonduktor mencecah RM1.2 trilion menjelang 2030. Pada 2023, eksport industri semikonduktor negara merosot 3% kepada RM575.45 bilion, daripada rekod RM593 bilion dicatatkan pada 2022.
Destinasi eksport teratas termasuk China, Singapura dan Amerika Syarikat.