
Liakathali Sharif, 64, dan Wan Zuraini Abd Rahim, 23, mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka.
Liakathali didakwa memiliki 24 bingkai gambar al-Quran pelbagai saiz, serta empat unit ‘muslim zikir plug-in speaker’ yang mengandungi kesilapan ayat, oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) di premis perniagaannya dekat Jalan Ah Seng pada 26 Ogos 2024.
Wan Zuraini pula didakwa memiliki lima bingkai gambar al-Quran pelbagai saiz yang mengandungi kesilapan ayat di premis perniagaannya, di jalan, masa dan tarikh yang sama.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 14(2) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwaan KDN Mohd Runaim Sulaiman dan Raja Husin Raja Ibrahim, manakala kedua-dua peniaga itu diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Hafizah Hanapi.
Terdahulu, Mohd Runaim dan Raja Husin memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas peniaga tersebut.
Hafizah bagaimanapun merayu agar denda dikurangkan memandangkan mereka tidak tahu mengenai kesilapan ayat al-Quran di dalam bingkai gambar terbabit, dan ia merupakan kesalahan kali pertama.
Majistret Amal Razim Alias kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM1,500 setiap seorang atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda. Mereka kemudiannya membayar denda.