
Tindakan di serata negara dari Januari tahun lalu hingga 17 Feb tahun ini membawa kepada rampasan RM3.8 bilion bahan, dan penahanan 538 orang.
Pihak berkuasa merampas 301 kontena antara Mac dan Jun; 106 kontena diisi dengan e-waste dan besi buruk, kebanyakannya dari negara maju seperti Amerika Syarikat.
FMT melihat lebih dekat isu e-waste, mengapa sesetengah orang bimbang, dan apa yang orang lain lihat sebagai potensi untuk dimanfaatkan.
Apa itu e-waste?
E-waste, atau sisa elektronik, merujuk kepada peranti elektrik atau elektronik yang dibuang dan tidak lagi berfungsi atau diperlukan, dan secara amnya dikategorikan kepada sisa industri dan sisa isi rumah.
Sisa industri, yang dijana oleh perniagaan dan kilang, termasuk unit bekalan kuasa berskala besar, papan litar, pelayan komputer dan sistem automasi.
Sisa isi rumah terdiri daripada barangan terbuang seperti TV, komputer, telefon pintar, penghawa dingin, mesin basuh dan peti sejuk.
E-waste mempunyai nilai kitar semula yang ketara kerana kandungan yang kaya, termasuk logam berharga seperti besi, timah, emas, perak dan tembaga, yang boleh diproses untuk eksport.
Bagaimanapun, kos kitar semula yang tinggi dan peraturan ketat di negara maju menyebabkan mereka eksport e-waste masing-masing.
Penghantaran e-waste haram
Malaysia mengharamkan pengimportan e-waste pada 2012 dan pengeksportannya pada 2017, melainkan dengan kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS). Namun, penghantaran haram masih membanjiri negara.
Tahun lepas, badan pemerhati perdagangan sisa global, Basel Action Network, memaklumkan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam tentang lonjakan pemerdagangan e-waste haram ke Malaysia, khususnya dari Amerika Utara.
Pengarah Eksekutif Jim Puckett, berkata Malaysia menjadi sasaran utama peniaga e-waste haram, kerana industri elektronik mencari tempat pembuangan baharu dan bukannya menguruskan sisa di negara masing-masing.
Beliau berkata siasatan oleh rangkaian Basel menemui laluan eksport terus dari AS ke Malaysia, terutama melalui Pelabuhan Los Angeles.
Di Malaysia, kastam berkata konsainan e-waste diimport secara haram secara fraud dan pengisytiharan palsu, manakala pengendalinya didakwa memberi rasuah untuk menghalang tindakan penguatkuasaan.
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan baru-baru ini mendapati beberapa pegawai JAS cuba membenarkan pelepasan konsainan e-waste haram dari Pelabuhan Klang pada Mei 2024.
Menteri Nik Nazmi Nik Ahmad berkata banyak negara maju mengandaikan bahawa e-waste masing-masing diproses secara beretika, tanpa menyedari ia sering diseludup ke negara membangun secara pengisytiharan palsu.
Apa seterusnya?
Perniagaan haram peroleh penghantaran haram ini dan mengeksploitasi nilai kitar semula e-waste yang lumayan melalui kemudahan pemprosesan tidak berlesen. Logam berharga diekstrak dan dieksport untuk keuntungan sambil melangkau peraturan alam sekitar.
Tahun lepas, pihak berkuasa menyerbu sebuah kilang pemprosesan e-waste haram di Tikam Batu, Kedah yang dilaporkan menjana lebih RM10 juta sebulan daripada logam berharga.
Siasatan sejak itu menemui lebih 200 kemudahan kitar semula e-waste haram di serata Malaysia, khususnya di Segamat, Johor; Gurun, Kedah; dan Teluk Panglima Garang, Selangor
Pada Feb 2024, Nabila Zulkeflee, pegawai alam sekitar dari Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), melawat tapak di Sungai Petani di Kedah, Telok Gong di Pelabuhan Klang dan Seremban di Negeri Sembilan mendedahkan banyak tapak pelupusan sampah haram terbiar yang mengandungi e-waste.
“Sesetengah tapak mengandungi timbunan e-waste terproses yang dipotong menjadi kepingan kecil, dan sebahagiannya dibakar secara terbuka,” katanya kepada FMT.
Kebimbangan
Pengimportan dan pemprosesan e-waste secara haram mengakibatkan longgokan sisa yang tidak boleh digunakan, di tapak-tapak pelupusan sampah yang tersembunyi dan tidak terurus, kata Nabila.
“Tapak pelupusan sampah ini, selalunya terletak di lokasi tersembunyi, dibakar dan dibiarkan tidak terurus. Ini amat membimbangkan kerana e-waste mengandungi bahan toksik dan berbahaya seperti merkuri, plumbum, kadmium dan lain-lain yang boleh membahayakan alam sekitar dan manusia,” katanya.
Pelupusan yang tidak betul dan pemprosesan yang menyalahi undang-undang, seperti pembakaran e-waste, dikaitkan dengan peningkatan kes penyakit pernafasan dan peningkatan risiko gangguan saraf dan kanser.
Pengumpulan toksin juga lama-kelamaan mengganggu ekosistem, mengancam hidupan liar dan rantai makanan, lantas menyumbang kepada krisis alam sekitar.
Terdapat juga beban ekonomi, dengan berbilion-bilion hasil cukai hilang daripada operasi e-sisa haram dan kerajaan terpaksa membelanjakan lebih banyak untuk usaha pembersihan dan penguatkuasaan.
Peluang ekonomi
Terdapat hujah mengatakan kitar semula dan pemprosesan e-waste yang dilaksanakan dengan betul boleh menguntungkan negara dan mampan. Sistem kitar semula e-waste yang betul dilihat sebagai kunci kepada ekonomi kitaran (circular economy), memastikan bahan berharga digunakan semula dan bukannya dibuang.
Membaik pulih dan menjual semula produk elektronik memanjangkan jangka hayat produk, mewujudkan pasaran sekunder dan mengurangkan pembaziran. Kitar semula e-waste secara betul membolehkan logam berharga diperolehi semula, sambil menyediakan bahan untuk digunakan semula. Ia juga boleh mengurangkan pergantungan pada perlombongan yang mahal sambil mengurangkan perbelanjaan perniagaan bagi pelupusan.
Dengan mengubah sisa menjadi sumber yang menguntungkan, kitar semula e-waste boleh memacu pertumbuhan ekonomi sambil menggalakkan tanggungjawab pada alam sekitar.
Bagaimanapun, Puckett menegaskan bahawa jika pemprosesan e-waste boleh jadi lumayan dan mampan, firma di AS dan negara lain akan berusaha untuk mewujudkan kemudahan mesra alam tersendiri untuk memproses e-waste.