
Beliau berkata pencapaian itu dapat dilihat apabila kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal bagi Malaysia diunjur meningkat kepada 5.9% tahun lalu berbanding penguncupan 6.2% direkod pada 2020.
Menurut Anwar yang juga menteri kewangan, pencapaian itu mengambil kira segi aspek pertumbuhan, kadar inflasi, pembentukan modal tetap kasar dan pelaburan.
“Kalau kita lihat dari segi pencapaian makroekonomi 2024, kita boleh berasa lega sedikit…yang pertama dari segi pertumbuhan dan kedua inflasi yang rendah iaitu 1.8%.
“Ketiga modal tetap kasar meningkat 12% dan keempat Bursa Malaysia pada 2024 catat peningkatan 12.9%…itu agak tinggi dalam tempoh empat tahun,” katanya pada waktu pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta kerajaan menjelaskan nilai KDNK dan kadar nominal dari 2020 hingga 2024.
Anwar berkata pencapaian itu membawa manfaat kepada prestasi baik cabang pelaburan seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Prestasi inilah menyebabkan ASB kita tertinggi dalam lima tahun manakala KWSP catat 6.3% tertinggi sejak 2017,” katanya merujuk pengumuman KWSP berhubung kadar dividen bagi simpanan syariah dan konvensional pada tahun lalu.
Beliau berkata manfaat itu juga dapat dilihat apabila kerajaan dapat memperbaiki sistem persaraan dan gaji kakitangan awam, selain bantuan sosial untuk golongan memerlukan.
“STR (Sumbangan Tunai Rahmah) bertambah kepada RM13 bilion yang tertinggi dalam sejarah…ini faedah langsung kepada rakyat termasuk peluang pekerjaan,” katanya.