Mahkamah kekal sabitan kes pemalsuan Peter Anthony

Mahkamah kekal sabitan kes pemalsuan Peter Anthony

Pemenjaraan Adun Melalap selama tiga tahun menyaksikan kerusi disandang di DUN Sabah gugur.

Peter Anthony
Adun Melalap Peter Anthony gagal membatalkan sabitan kerana memalsukan surat daripada pejabat naib canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk tujuan penipuan 11 tahun lalu. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Adun Melalap Peter Anthony gagal dalam rayuan akhir mengetepikan sabitan memalsukan surat daripada pejabat naib canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk tujuan penipuan 11 tahun lalu.

Hakim Zaini Mazlan berkata, hakim perbicaraan telah membuat dapatan yang betul dalam fakta dan undang-undang untuk mensabit dan menjatuhkan hukuman kepada Peter, tiga tahun lalu.

“Kami berpendapat keputusan hakim perbicaraan (di Mahkamah Sesyen) adalah berasas dan tiada sebab untuk mengganggunya,” katanya dalam kamar penuh sesak.

Panel hakim lain mendengar rayuan adalah Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azmi Ariffin.

Zaidi, selaku pengerusi panel, terus mengeluarkan perintah komital supaya Peter memulakan hukuman penjara, berkuat kuasa hari ini.

Sebelum ini, Peter dalam ikat jamin RM80,000 sementara menunggu rayuannya.

Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat itu akan kehilangan kerusi DUN Sabah, melainkan beliau mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, memandangkan kesalahan dilakukan di Putrajaya.

Perkara 17(1) Perlembagaan Sabah menyatakan bahawa seorang Adun yang dipilih atau dinamakan akan hilang kelayakan jika dia telah disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah undang-undang di mana-mana bahagian persekutuan.

Peruntukan itu juga menyatakan bahawa kehilangan kelayakan akan berkuat kuasa jika hukuman penjara setahun atau lebih dikenakan, dan denda RM2,000 atau lebih tinggi.

Peter dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000.

Pada 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyatakan Mahkamah Sesyen tidak melakukan khilaf, sama ada daripada segi undang-undang atau fakta, apabila membuat sabitan ke atas Peter terhadap pertuduhan itu, pada Mei 2022.

Ahmad Bache, yang kini telah bersara, juga mengekalkan hukuman dikenakan Hakim Azura Alwi.

Peter, 53, merupakan bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah ketika Warisan berkuasa antara 2018 hingga 2020.

Peter ketika menjadi pengarah urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didapati bersalah memalsukan surat
bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.

Beliau melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada perdana menteri ketika itu, Najib Razak, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.