KWSP boleh pertimbang pengeluaran pencarum ‘terdesak’, kata PM

KWSP boleh pertimbang pengeluaran pencarum ‘terdesak’, kata PM

Anwar Ibrahim berkata namun tidak ada kelonggaran berlebihan akan diberikan selari dengan prinsip KWSP adalah simpanan untuk hari tua pencarum.

KWSP EPF
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tindakan membuka ruang terlalu luas untuk akses pengeluaran simpanan KWSP hanya akan ‘menghukum’ pencarum ketika bersara.
KUALA LUMPUR:
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh memberi pertimbangan khas untuk pengeluaran simpanan pencarum tetapi mesti melibatkan kes tertentu yang kritikal walaupun di luar syarat dan kaedah sedia ada.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata namun tidak ada kelonggaran berlebihan akan diberikan selari dengan prinsip KWSP adalah simpanan untuk hari tua pencarum.

Katanya, tindakan membuka ruang terlalu luas untuk akses pengeluaran simpanan KWSP hanya akan ‘menghukum’ pencarum ketika bersara.

“Ada kalanya beberapa pengecualian dan kelonggaran diberikan dan banyak kes-kes rayuan khusus diberi pertimbangan khas terutama dalam keadaan keuzuran dan sebagainya.

“Jadi, kalau ada spesifik yang dibangkitkan Padang Terap (Ahli Parlimen Padang Terap Nurul Amin Hamid), saya percaya KWSP boleh berikan pertimbangan seperti yang mereka lakukan sekarang. Katalah keadaan mendesak, walaupun tak ikut kaedah yang diberikan sekarang,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Amin yang mahu tahu adakah kerajaan wajar mempertimbangkan kumpulan pencarum terdesak mengeluarkan simpanan untuk meneruskan kehidupan.

Anwar berkata, kerajaan perlu melakukan keseimbangan antara menyelesaikan masalah mendesak segera dengan menjamin simpanan hari tua pencarum.

Dalam pada itu, Anwar berkata dividen 6.3% diumum akan memberi fahaman lebih jelas kepada pencarum bahawa KWSP akan memberikan hasil lumayan kepada mereka.

Katanya, KWSP sudah mengeluarkan kenyataan majoriti pencarum terutama masyarakat Melayu mempunyai simpanan yang sangat kecil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.