Tak tumpu wartawan, SPRM turut siasat kartel seludup warga asing

Tak tumpu wartawan, SPRM turut siasat kartel seludup warga asing

Ketua pesuruhjaya SPRM berkata siasatan terhadap sindiket yang disyaki membawa masuk pekerja asing ke negara ini masih berjalan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki kata wartawan, ahli politik, dan penjawat awam juga boleh disiasat SPRM berhubung dakwaan rasuah.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan siasatan tidak hanya tertumpu terhadap kes seorang wartawan Malaysiakini yang ditahan kerana disyaki menerima rasuah daripada ejen berurusan dengan pekerja asing.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata pihaknya turut menjalankan siasatan terhadap sindiket yang disyaki membawa masuk pekerja asing.

“Kita sudah cakap banyak kali, kita juga telah siasat isu kartel untuk membawa masuk pekerja asing dalam negara. Siasatan masih dijalankan.

“Tetapi mana-mana pihak memaksa orang membayar wang untuk tidak terbitkan satu artikel… itu satu kesalahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM.

Azam berkata wartawan, ahli politik, dan penjawat awam juga boleh disiasat SPRM berhubung dakwaan rasuah.

“Lepas siasatan dijalankan, saya beri jaminan kertas siasatan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk menilai sama ada kes atau tidak.

“Ini adalah praktis kami dan juga berdasarkan pengalaman kami pada kes-kes yang lepas dan merujuk kes-kes yang diputuskan di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan juga Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Sabtu lalu, seorang wartawan Malaysiakini ditahan SPRM kerana didakwa menerima rasuah daripada ejen berurusan dengan pekerja asing.

Bercakap kepada Malaysiakini, Azam menafikan penahanan itu berkait penerbitan artikel portal tersebut baru-baru ini berkaitan kartel pemerdagangan warga asing.

Azam berkata, wartawan itu pada mulanya meminta RM100,000 daripada ejen terbabit sebagai balasan tidak menyiarkan dua artikel mengenai ejen dikatakan.

Beliau berkata, jumlah wang akhirnya dikurangkan kepada RM20,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.