
Harian Metro melaporkan perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah di lokap Kompleks Mahkamah Alor Setar, hari ini.
Suspek direman mulai hari ini hingga 9 Mac untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Ketua Polis Kota Setar, Siti Nor Salawati Saad, berkata polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam melaporkan seorang lelaki mengamuk di sebuah rumah.
Menurutnya, polis kemudian menahan seorang lelaki 43 tahun di depan rumah terbabit.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui mayat seorang wanita berusia 68 tahun dalam keadaan terbakar di dalam rumah, dikenal pasti ibu suspek,” katanya menurut Sinar Harian.
Nor Salawati berkata, anak suspek berusia 14 tahun yang tinggal di rumah itu memberitahu polis bapa dan neneknya bertengkar kira-kira 7 hingga 7.30 pagi.
Katanya, saksi yang berada dalam bilik terdengar neneknya menjerit meminta tolong dan dia terus berlari keluar mendapatkan bantuan jiran.
Menurutnya, beberapa jiran cuba membantu, tetapi diancam suspek sebelum mereka segera menghubungi polis.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek pemegang kad orang kurang upaya mental dan motif kejadian masih dalam siasatan.