2 kekal bebas tuduhan tipu edar sarung tangan getah lebih RM1 juta

2 kekal bebas tuduhan tipu edar sarung tangan getah lebih RM1 juta

Hakim membuat keputusan itu selepas timbalan pendakwa raya beritahu ingin tarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen lepas dan bebas dua tertuduh.

Wan Ahmad Farhaan Wan Kia Salleh Noor (kiri) dan Mohd Fami Sharin dilepas serta dibebaskan pada 6 Feb 2024 selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan keputusan membebaskan dua rakan daripada satu pertuduhan menipu dua lelaki berkaitan pengedaran 180,000 kotak sarung tangan getah bernilai lebih RM1 juta, empat tahun lepas.

Hakim Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Khalijah Mohd Khalid memaklumkan pihaknya ingin menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Wan Ahmad Farhaan Wan Kia Salleh Noor, 33, serta Mohd Fami Sharin, 51, daripada pertuduhan itu.

“Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes ini. Mohon rayuan ditarik balik,” kata Khalijah.

Peguam Haresh Mahadevan yang mewakili kedua-dua perayu berkata, pihaknya tidak membantah perkara itu.

Hakim kemudian membatalkan rayuan berkenaan.

Pada 6 Feb 2024, Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Kafli Che Ali melepas dan membebaskan Farhaan dan Fami selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap kedua-duanya di akhir kes pendakwaan.

Farhaan dan Fami didakwa menipu Mohamad Faiz Yaacob serta Saleh Nabil Salah Mahmoud Abdalkader Alarabi, yang mewakili Yummylooks Sdn Bhd bahawa kedua-dua tertuduh akan mengedarkan 180,000 kotak produk itu hingga mendorong mangsa memasukkan RM1,001,650 ke akaun bank Syarikat Tuntas Abadi Sdn Bhd milik tertuduh pertama (Farhaan).

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Jalan Damansara, Taman Tun Dr Ismail, di sini pada 17 Mac 2021 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Selepas prosiding, Farhaan dan Fami berkata, mereka lega pihak pendakwaan menarik balik rayuan dan boleh meneruskan perniagaan dengan lebih lancar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.