Usah obses apa negara maju buat, caj kesesakan perlu pertimbang kesan sosial

Usah obses apa negara maju buat, caj kesesakan perlu pertimbang kesan sosial

Fahami Ashrof Badaruddin daripada NGO pengguna jalan raya berkata sistem pengangkutan awam mesti benar-benar cekap, selain ada berpandangan caj kena ambil kira kumpulan sosioekonomi berbeza.

Pensyarah kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Universiti Malaya, Noor Hashimah Hashim Lim, berkata golongan tidak mampu menetap di pusat bandar sedia ada belanja wang lebih masuk ke ibu negara.
PETALING JAYA:
Cadangan pengenalan caj kesesakan ke ibu negara boleh dipertimbang jika sistem pengangkutan awam negara sudah “setanding”, bukan sekadar “mengikut apa dilakukan negara maju”.

Pemangku Presiden Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan, Fahami Ashrof Badaruddin, menyuarakan kebimbangan pengguna lebih cenderung berkenderaan sendiri disebabkan kecekapan pengangkutan awam yang “kurang lancar”.

“Infrastuktur jalan raya atau fasiliti pengangkutan awam perlu dipermudah dahulu. Jangan terlalu obses untuk ikut apa dilakukan negara-negara maju.

“Misalnya, mekanisme di London yang mengenakan caj terhadap kenderaan berdasarkan waktu puncak. Mereka mempunyai sistem pengangkutan lebih efisien antara bandar ke bandar, mahupun perubahan lokasi ke lokasi yang mudah,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, kebimbangan pengguna berkaitan kos tinggi yang perlu dibelanjakan dalam mod pengangkutan terutamanya bagi mereka berkeluarga besar juga perlu diambil kira.

“Contohnya, seorang perlu membayar RM2 dari satu stesen Transit Aliran Ringan (LRT) ke stesen lain. Bayangkan berapa bayaran dikenakan jika lebih 10 ahli keluarga,” katanya.

Nasib pengguna luar KL

Dalam pada itu, pakar perancangan bandar dan wilayah, Noor Hashimah Hashim Lim pula berpendapat kajian lebih mendalam perlu dilakukan kerana ciri geografi dan kependudukan mungkin mendorong kepada faktor kesesakan berbeza.

Pensyarah kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Universiti Malaya itu, berkata penetapan caj berkenaan juga perlu mengambil kira kesan ekuiti ke atas kumpulan sosioekonomi berbeza.

“Contohnya, mereka yang tinggal jauh dari pusat bandar akibat kenaikan harga rumah, telah pun menanggung kos minyak dan bayaran tol setiap hari hanya untuk perjalanan kerja.

“Manakala, golongan yang mampu membeli rumah dan menyewa di kawasan pusat bandar, mereka tidak perlu membayar tol dan dapat menjimatkan kos minyak mahupun masa perjalanan ke mana-mana dalam kawasan bandar,” katanya.

“Betapa mudahnya ketidaksamaan boleh berlaku jika faktor kategori pendapatan dan kesan ekuiti tidak dipertimbangkan dalam penetapan caj kesesakan.”

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, berkata pelaksanaan caj berkaitan dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik di ibu negara sehingga 20%.

Sebelum ini, Zaliha berkata inisiatif itu dipertimbangkan dalam Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 dan pihaknya sedang mengkaji impak kepada pengguna dan sistem pengangkutan awam jika dilaksana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.