
Suspek berusia 22 hingga 53 tahun termasuk tujuh wanita itu dipercayai berperanan sebagai ejen dan transporter dalam sindiket berkenaan.
Ketua Penolong Pengarah Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Soffian Santong, berkata mereka ditahan dalam dua serbuan di rumah inap desa serta hotel bajet.
“Serbuan pertama dilakukan ke atas dua unit rumah inap di kawasan Sungai Buloh yang dijadikan tempat menginap bagi ejen dan transporter manakala serbuan kedua pula membabitkan sebuah otel bajet di Saujana Utama, Sungai Buloh yang dijadikan sebagai rumah transit.
“Ejen bertindak sebagai pengatur dan penyedia kemudahan tempat tinggal dan makanan kepada migran yang ditempatkan di hotel tersebut sebelum keluar atau masuk ke Malaysia melalui jalan tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan dibantu seorang pembantu ejen,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit aktif menjalankan kegiatan penyeludupan migran sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka dengan setiap migran dikenakan bayaran antara RM1,800 dan RM2,000 bagi setiap perjalanan.
Beliau berkata kesemua yang ditahan dan hasil rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat IPD Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6 (1) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.