
Ronnie Liu, yang keluar parti pada 2023 selepas mendakwa DAP sedang menuju ke arah yang salah, membandingkan situasi semasa parti itu dengan MCA ketika berada dalam kerajaan sebelum mengalami kemerosotan.
Liu mencadangkan ahli DAP menggunakan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) bulan ini untuk membawa parti kembali ke landasan yang betul.
Katanya, pimpinan tertinggi perlu duduk berbincang untuk mencapai kata sepakat atau berkompromi bagi mengelakkan perebutan kuasa dalam parti.
“Mereka perlu bekerja sebagai satu pasukan untuk mengembalikan keyakinan serta kepercayaan semua penyokong dan pengundi. Jika tidak, perpecahan akan semakin mendalam selepas pemilihan dan akhirnya melemahkan sokongan terhadap PH,” katanya.
Veteran parti itu berkata, golongan muda yang kini memegang jawatan dalam parti dan kerajaan dibimbing oleh pemimpin senior serta veteran.
Bagaimanapun, selepas menjadi sebahagian daripada kerajaan, mereka dilihat melupakan perjuangan asal DAP, dan majoriti daripada mereka sudah hilang semangat juang.
“Orang luar yang menjadi penyokong teras kini melihat pemimpin DAP lebih sibuk dengan perebutan kuasa berbanding memperjuangkan hak rakyat Malaysia. Ini sama seperti apa yang berlaku kepada MCA ketika menjadi parti kerajaan sebelum hilang sokongan,” katanya kepada FMT.
Liu, Adun Selangor selama dua penggal dan lima kali terpilih dalam CEC, berkata kira-kira 4,000 perwakilan perlu memilih pemimpin yang bersedia mengubah pendekatan parti memandangkan DAP kini sebahagian daripada kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.
Katanya, perubahan ini tidak seharusnya dilakukan dengan mengorbankan asas perjuangan parti, sebaliknya harus mengambil pendekatan seimbang bagi memastikan penyokong tidak hilang kepercayaan terhadap DAP.
Liu, yang dikenali sebagai penyokong setia Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, mengingatkan perwakilan agar tidak memilih “pemimpin angkuh yang boleh merosakkan imej parti”.
“Jika seseorang pemimpin itu angkuh serta bercakap atau bertindak tanpa rasa hormat, mereka berisiko menjauhkan pengundi dan memberi peluang kepada pihak lawan untuk menyerang parti,” katanya.
Katanya, DAP bukan lagi parti yang didominasi oleh satu kaum sahaja dan sedang giat mengembangkan pengundi dasar, terutama dalam kalangan orang Melayu. Justeru, pemimpin yang angkuh mungkin sukar diterima secara meluas.
Menurut Liu, DAP kini mengalami defisit kepercayaan, dan perpecahan lebih besar boleh memberi kesan serius terhadap PH dalam PRU akan datang. DAP perlu kekal kuat bagi memastikan ia dapat menjadi pemantau terhadap salah laku Umno, PAS, dan Bersatu.
Pada minggu lalu, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, menepis dakwaan mengenai kewujudan kem dalam parti, dan berkata dakwaan seperti itu menjelang pemilihan parti adalah perkara biasa.
Sebelum ini, penganalisis berpendapat terdapat dua kumpulan dalam pemilihan CEC, satu diketuai oleh Loke sendiri, manakala satu lagi oleh Lim. Terdapat juga dakwaan mengenai usaha dalaman parti untuk menyingkirkan Lim daripada CEC.
Spekulasi mengenai pemilihan ini semakin memuncak selepas Ketua DAP Pulau Pinang Steven Sim diganggu seorang pembantu Lim dalam satu majlis makan malam di Pulau Pinang. Pembantu itu kemudiannya memohon maaf.