
Ketua Pemuda, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata pembangkang ketika itu turut ‘berguling dan tidur atas jalan’.
“Mereka lupa. Dulu mereka juga buat begitu semasa jadi pembangkang. Siap berguling tidur atas jalan. Ada kereta polis dipecahkan.
“Kami tak berguling. Tak rosakkan kereta polis. Kami cuma nak berhimpun sahaja,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas peringatan Anwar semalam, supaya penentang Rang Undang-undang Pembangunan Semula Bandar (PSB) tidak menggunakan kebebasan berhimpun untuk menipu dan memfitnah.
Peringatan itu sehari selepas beliau memberi jaminan RUU tersebut tidak akan mengubah status tanah, susulan dakwaan ia bakal menyebabkan tanah rizab Melayu dirampas.
Anwar juga menyeru pihak berkenaan supaya membawa isu yang munasabah.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Mohd Hafez Sabri, dilapor berkata pihaknya merancang mengadakan himpunan bagi membantah RUU itu.
RUU itu digembar-gemburkan sebagai perlu untuk menggantikan undang-undang dan peraturan lapuk berkenaan pembangunan semula kawasan bandar yang usang.
Akta Hakmilik Strata sekarang memerlukan resolusi sebulat suara pemilik sebelum hakmilik strata yang dikeluarkan berkenaan sesebuah bangunan yang dipecah bahagi boleh ditamatkan.
PSB mahu menurunkan ambang persetujuan pemilik strata daripada sebulat kepada 80% bagi hartanah berusia bawah 30 tahun, 75% bagi hartanah berusia lebih 30 tahun, dan 51% bagi bangunan tidak berpenghuni.
Pengkritik berpendapat undang-undang itu akan mengusir warga miskin yang tidak dapat terus menetap di kawasan yang dibangunkan semula.
Sementara itu, Afnan berkata perhimpunan tersebut akan tetap diteruskan namun tarikhnya belum diputuskan.