
Fahmi, 44, berkata PKR berada pada “kedudukan unik” dalam kerajaan. “Ramai menteri PKR agak muda — bawah umur 50 tahun.”
Menurutnya, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, berusia 47 tahun; Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, 47; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, 44; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad, 43; dan dirinya sebagai antara mereka yang mempunyai masa di sisi mereka.
“Jadi, saya fikir adalah penting perpaduan parti dipelihara pada pemilihan parti akan datang,” katanya.
Walaupun PKR mengetuai kerajaan, Fahmi berkata ahli parti mesti terus menunjukkan kebersamaan, seperti yang ditunjukkan semasa tahun pembentukannya.
“Pada satu ketika kita (PKR) berjuang (menuntut reformasi) sambil menyatakan nilai-nilai yang kita pegang secara terang-terangan. Semangat itu kita boleh pamer dalam cara kita mengendalikan pemilihan parti kita,” katanya.
Fahmi kata beliau tidak ada rancangan untuk bertanding mana-mana jawatan pada pemilihan kali ini. “Saya berkhidmat (selaku menteri) menurut budi bicara perdana menteri. Saya dilantik sebagai ketua penerangan parti oleh presiden parti. Saya fikir kita boleh berkhidmat kepada parti atas apa sahaja kapasiti,” katanya.
PKR diketuai Presiden Anwar Ibrahim, perdana menteri sekarang. Fahmi, yang menyertai parti itu pada 2010, dilantik oleh Anwar sebagai ketua penerangan pada Julai 2022. Beliau sebelum ini menggalas pengarah komunikasi.
Parti itu dijadualkan mengadakan pemilihan peringkat bahagian dari 11 hingga 20 April. Pemilihan bagi kepimpinan pusat akan berlangsung pada 24 Mei.
Semua jawatan dalam majlis tertinggi, sayap Wanita dan Pemuda akan dipertandingkan untuk penggal 2025-2028.