
Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri beri tempoh selama beberapa bulan kepada kontraktor projek, Consortium Zenith Construction (CZC) Sdn Bhd, untuk menghasilkan reka bentuk baharu dan menjalankan kajian kebolehlaksanaan.
“Jadi masih jauh daripada peringkat perlaksanaan lagi sebab ada pindaan untuk menyesuaikan dan menabngani isu-isu yang dibangkitkan oleh pemegang taruh,” katanya kepada pemberita di Komtar.
Chow belum sedia membuat kenyataan apabila ditanya sama ada laluan ketiga dari pulau ke tanah besar itu akan ditukar daripada terowong dasar laut kepada jambatan merintangi selat.
“Kita umum selepas mereka buat kajian kebolehlaksanaan,” katanya.
Projek yang pertama kali dicadangkan pada 2011 ini berdepan beberapa penangguhan. Chow berkata ia akan mengambil masa kerana melibatkan komponen jalan raya iaitu tiga laluan yang bersambung dengan terowong tersebut.
Ini termasuk Laluan Berkembar Pesisir Pantai Utara sepanjang 10km, yang menghubungkan Tanjung Bungah, Batu Feringghi, dan Teluk Bahang.
Chow berkata penangguhan ini turut menyentuh isu penyediaan tanah, memandangkan pembayaran kerajaan negeri kepada kontraktor, dalam bentuk tanah tebus guna, masih belum selesai.
“Kita perlu sesuaikan jadual serahan tanah dengan tuntutan. Kalau tuntutan terlalu awal kita tak dapat bayar dengan tanah,” katanya.
Kerajaan negeri pada 2011 menandatangani perjanjian bernilai RM6.3 bilion dengan suatu konsortium diketuai Beijing Urban Construction Group (BUCG) dan beberapa firma tempatan untuk projek terowong dasar laut dan tiga jalan ini.
BUCG dikeluarkan daripada konsortium itu berikutan kemalangan maut membabitkan sebuah kren di ibu negara pada 2016.
Projek terowong itu masih belum dilaksanakan sementara menunggu kajian kebolehlaksanaan selesai. Terowong yang dicadangkan adalah sepanjang 7.2km yang menghubungkan Jalan Pangkor dan Bagan Ajam. Sebelum ini pembinaan dijadualkan bermula pada 2023.
Kerajaan negeri bersedia memberikan kontraktor suatu konsesi untuk mengendalikan, menyelenggara dan mengutip tol di terowong ini, selama sekurang-kurangnya 30 tahun.
Tiga jalan yang menjadi sebahagian daripada projek terowong itu ialah: Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (5.7km), NCPR (10.53km), dan Jalan Pangkor-Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (4.1km).
Menurut laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam Pulau Pinang yang lalu, keseluruhan projek ini, termasuk terowong dan jalan raya, akan menelan belanja RM6.3 bilion.
Kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci akan menelan belanja RM305 juta, pengambilan tanah RM546 juta, dan baki RM5.49 bilion akan digunakan untuk pembinaan.
Setakat ini, hanya satu komponen — jalan yang menghubungkan Air Itam ke NCPR — telah dimulakan dan kini sudah 73% siap.