
Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam) JKNP, Dr Wan Abdul Rahim Wan Muhammad, berkata racun berjadual yang dirampas itu ialah racun jenis tranexamic acid 99% yang dikilangkan untuk dicampur dalam kosmetik sebelum dijual kepada orang awam.
Katanya, tindakan itu susulan aduan orang awam yang diterima Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Pahang mengenai penjualan kosmetik tidak bernotifikasi melalui platform e-dagang.
“Hasil risikan CPF Pahang berjaya membongkar kegiatan suspek yang didapati aktif menjual kosmetik yang tidak bernotifikasi secara dalam talian.
“Penjualan kosmetik tidak bernotifikasi adalah melanggar Peraturan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
“Denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya, katanya dalam kenyataan media hari ini, menurut Harian Metro.
Selain itu, Wan Abdul Rahim turut menasihatkan orang ramai berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai iklan atau testimoni di laman sesawang.
Katanya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan ubat-ubatan dan kosmetik yang meragukan menggunakan platform SOBAT melalui pautan https://beacons.ai/cpfpahang.
“Melalui platform ini juga, orang ramai boleh menyemak status notifikasi kosmetik melalui pautan yang disediakan.
“Bagi memerangi isu pembekalan dan penjualan ubat-ubatan dan kosmetik yang menyalahi undang-undang di Malaysia, KKM memperkenalkan kempen ‘Tolak Ubat Tidak Sah’ atau ‘TOBATS’ untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam,” katanya.