Jangan guna demo untuk memfitnah, Anwar ingatkan penentang RUU PSB

Jangan guna demo untuk memfitnah, Anwar ingatkan penentang RUU PSB

Peringatan ini sehari selepas PM beri jaminan RUU PSB tidak akan ubah status tanah.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ingatkan penentang RUU PSB agar jangan guna kebebasan berhimpun untuk memfitnah. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan penentang Rang Undang-undang Pembangunan Semula Bandar (PSB) agar jangan menggunakan kebebasan berhimpun untuk menipu dan memfitnah.

Peringatan ini sehari selepas Anwar beri jaminan RUU tersebut tidak akan mengubah status tanah, susulan dakwaan ia bakal menyebabkan tanah rizab Melayu dirampas.

Anwar menyeru pihak yang berkenaan supaya membawa isu yang munasabah. “Ini isu pembangunan bandar. Kita nak tolong penghuni yang miskin — majoriti Melayu — jadi kita nak bangunkan semula. Dia nak bantah sebab apa?”

“Ketika kamu perintah dulu tak ada pun usaha membangunkan kawasan orang miskin dan flat-flat lama di bandar,” katanya kepada pemberita, ketika ditemui di suatu majlis.

Anwar berkata beliau tidak mahu orang miskin diketepikan dan disisihkan daripada seluruh pembangunan sekarang.

“Saya nak bagi ingantan jangan guna kebebasan ini untuk menipu dan memfitnah atas nama Islam dan Melayu,” tegasnya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pemuda PAS Mohd Hafez Sabri dilapor berkata pihaknya merancang mengadakan himpunan bagi membantah RUU itu.

RUU itu digembar-gemburkan sebagai perlu untuk menggantikan undang-undang dan peraturan lapuk berkenaan pembangunan semula kawasan bandar yang usang.

Akta Hakmilik Strata sekarang memerlukan resolusi sebulat suara pemilik sebelum hakmilik strata yang dikeluarkan berkenaan sesebuah bangunan yang dipecah bahagi boleh ditamatkan.

PSB mahu menurunkan ambang persetujuan pemilik strata daripada sebulat kepada 80% bagi hartanah yang berusia bawah 30 tahun, 75% bagi hartanah berusia lebih 30 tahun, dan 51% bagi bangunan tidak berpenghuni.

Pengkritik berpendapat undang-undang itu akan mengusir warga miskin yang tidak dapat terus menetap di kawasan yang dibangunkan semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.