
Anwar, yang juga menteri kewangan berkata beliau telah membincangkan perkara itu dengan ketua pegawai eksekutif syarikat tersebut secara dalam talian pagi tadi yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank Group Corp, Masayoshi Son.
SoftBank merupakan syarikat pemegangan pelaburan multinasional terkemuka Jepun.
“Insya-Allah, minggu depan kita dapat selesaikan dan perjanjian akan ditandatangani,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Peletakan Logo Malaysia Madani di rangkaian Restoran Nasi Kandar Putrajaya.
Terdahulu, ketika berucap selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sekolah Sultan Alam Shah, perdana menteri berkata dalam soal reka bentuk dan pembikinan semikonduktor Arm merupakan antara yang cemerlang di dunia.
“Arm memilih untuk berpangkalan di Malaysia, syukur Alhamdulillah,” kata beliau.
Sementara itu, Anwar berkata pelaburan sedemikian hanya mampu dikecapi kerana Malaysia mempunyai kestabilan politik serta dasar yang jelas.
Namun, katanya pelaburan besar sebegini turut memberi cabaran kepada negara dalam memastikan tenaga kerja muda profesional yang mencukupi.
“Ini ujian besar, apakah kita boleh menyediakan puluhan ribu anak muda profesional? Ini satu cabaran bagi anak-anak muda. Bila kita bawa pelaburan besar, tenaga kerja profesional adalah tunjang,” kata Anwar.
Arm Holdings Plc adalah syarikat reka bentuk semikonduktor dan perisian yang berpangkalan di Cambridge, England. Perniagaan utamanya adalah dalam reka bentuk unit pemprosesan pusat (CPU) yang melaksanakan set arahan seni bina Arm.