Umno Sabah ‘terikat’ antara autonomi, hala tuju persekutuan, kata penganalisis

Umno Sabah ‘terikat’ antara autonomi, hala tuju persekutuan, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata Umno Sabah perlu buktikan ada kuasa buat keputusan sendiri, pada masa masa pertimbang kesan kerjasama di peringkat persekutuan.

ahmad zahid hamidi bung moktar radin
Zahid Hamidi berkata pemimpin Umno Sabah perlu berlapang dada jalin kerjasama manakala Bung Moktar Radin tegaskan pihaknya mempunyai hak memilih rakan gabungan untuk hadapi PRN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Umno Sabah diketuai Bung Moktar Radin dilihat ‘terikat’ dalam memutuskan kerjasama Barisan Nasional (BN) pada PRN tidak lama lagi kerana turut berpotensi menentukan hala tuju partinya di persekutuan, kata penganalisis.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata dalam satu aspek Umno Sabah perlu membuktikannya boleh buat keputusan sendiri, menggunakan autonominya tanpa dipengaruhi sepenuhnya pimpinan pusat.

Menurutnya, namun pada masa sama parti itu perlu menerima hakikatnya yang mereka tidak boleh bersendirian pada PRN itu tetapi mencari rakan gabungan.

“Jadi dalam memilih sekutu untuk bekerjasama Umno Sabah perlu hati-hati kerana turut mencerminkan kerjasama peringkat nasional.

“Bung Moktar perlu memikirkan segala perkembangan di Sabah juga beri kesan di persekutuan,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, media melaporkan Ahli Parlimen Kinabatangan itu dipetik berkata Umno Sabah mempunyai hak memilih rakan gabungan dalam menghadapi PRN Sabah pada tahun ini.

Menurut pengerusi BN Sabah itu, pihaknya sentiasa berlapang dada dalam menentukan masa depan serta hala tuju parti menjelang PRN terbabit.

Sehari sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Presiden Umno Zahid Hamidi meminta pemimpin utama Umno Sabah berlapang dada dalam menjalin kerjasama dengan tidak hanya memikirkan kepentingan sesuatu parti sahaja, tetapi dalam masa sama harus mengutamakan rakyat.

Zahid mengulas pandangan sebahagian ketua Umno di negeri itu yang kurang bersetuju untuk menjalin kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi positif dengan Pakatan Harapan (PH).

Tiada krisis dalam Umno

Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) menolak perbezaan pendapat itu menunjukkan ada krisis dalam Umno, sebaliknya disifatkan proses biasa menentukan hala tuju parti.

Menurutnya, hak memilih rakan gabungan perlu diserahkan sepenuhnya kepada Umno Sabah, memandangkan hal berkaitan autonomi telah lama diperjuangkan.

“Ini perlu direalisasikan lebih-lebih lagi pemimpin Umno Sabah sangat berhasrat memastikan parti itu kembali berkuasa,” katanya.

Bilcher Bala yang juga dari UMS berkata kenyataan Bung Moktar itu menunjukkan wujud autonomi politik Umno Sabah dan berupaya membuat keputusan sendiri.

“Dalam politik, komunikasi dan rundingan antara cabang negeri serta pusat adalah perkara biasa…ia mencerminkan proses rundingan untuk capai keputusan terbaik,” katanya.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula menjangkakan Umno Sabah mungkin bekerjasama dengan parti mempunyai kuasa di peringkat persekutuan.

“Saya lihat (kenyataan Bung Moktar) untuk menunjukkan autonomi Umno Sabah tapi sebenarnya mereka tak akan jauh terpesong daripada politik persekutuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.