Rampas 200kg syabu RM6.4 juta selepas kejar Pajero 15km

Rampas 200kg syabu RM6.4 juta selepas kejar Pajero 15km

Polis berkata bekalan dadah yang dipercayai diperoleh dari negara jiran itu boleh digunakan kira-kira dua juta penagih.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat (dua dari kanan) menunjukkan fotofit suspek dikehendaki dan sebahagian syabu dirampas pada sidang media di IPK Kelantan hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis Kelantan merampas 200kg syabu bernilai RM6.4 juta selepas mengejar sebuah pacuan empat roda sejauh 15km di Tumpat.

Rampasan itu dilakukan sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) pada 8.30 malam Ahad lalu selepas menyedari Pajero dinaiki dua lelaki itu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Nibong.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata dua anggota PGA mengejar kenderaan itu selepas merempuh penghadang di sekatan jalan raya PGA.

Tetapi, menurutnya, Pajero itu berhenti di Chabang Empat akibat tayar pancit sebelum dua lelaki melarikan diri ke kawasan kampung.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui 200 bungkusan mengandungi 200kg syabu bernilai RM6.4 juta.

“Pada masa sama, kita turut menemui telefon bimbit milik salah seorang suspek,” katanya menurut Berita Harian dalam sidang media di Kota Bharu.

Beliau berkata, semakan mendapati Pajero itu milik seorang lelaki 39 tahun dari Tumpat yang turut berada dalam kenderaan terbabit ketika kejadian.

Katanya, semakan ke atas telefon bimbit milik pemilik Pajero itu mendapati suspek menghantar mesej kepada isterinya meminta wanita itu melarikan diri kerana polis akan mencarinya.

“Kita sudah mengambil keterangan isteri mangsa dan kini memburu suspek dikenali Faizal dari Kampung Bendang Pok Yong dan rakannya berusia 30-an. Bekalan dadah ini juga dipercayai milik Faizal.”

Menurutnya, bekalan dadah yang dipercayai diperoleh dari negara jiran itu boleh digunakan kira-kira dua juta penagih dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.