
Bekas pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 66, berkata jawatankuasa itu hanya melibatkan pegawai kerajaan, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam Mohd Haijan Omar yang mewakili Guan Eng dalam perbicaraan kes rasuah bekas ketua menteri itu yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri berkenaan.
Saksi pendakwaan ke-23 itu bersetuju dengan peguam bahawa jawatankuasa terbabit membuat keputusan berdasarkan kelayakan, namun beliau tidak mengetahui syarikatnya mendapat tempat kedua dalam proses prakelayakan tersebut.
Zarul juga bersetuju dengan peguam bahawa sekiranya ada syarikat lain yang memperoleh markah lebih tinggi daripada syarikatnya, ini bermakna syarikat beliau tidak diberikan kelebihan dalam prakelayakan itu.
Pada 19 Ogos 2021, bekas exco Pulau Pinang Lim Hock Seng memberitahu mahkamah bahawa iklan prakelayakan tersebut telah disiarkan melalui laman web kerajaan negeri pada 11 Nov 2011, manakala iklan melalui akhbar tempatan disiarkan pada 15 Nov 2011.
Hock Seng berkata, sebanyak lapan syarikat berjaya melepasi syarat prakelayakan, iaitu China State Construction Engineering Corporation Ltd & VST Cemerlang Sdn Bhd, Setia Precast Sdn Bhd, ECK Construction Sdn Bhd, Gamuda Berhad, Zambina Wawasan Sdn Bhd, IJM-CRGL Joint Ventures, Consortium Zenith BUCG Juteras & Sri Tinggi JV serta WCT Daewoo Joint Ventures.
Ketika menjawab soalan peguam, Zarul setuju bahawa jajaran tiga jalan utama di Pulau Pinang tidak memberi kelebihan kepadanya kerana maklumat mengenai jajaran tersebut juga diketahui oleh orang awam.
Ketika disoal oleh Haijan sama ada beliau bersetuju bahawa jajaran tiga jalan tersebut telah dimasukkan dalam Laporan Halcrow pada 1998 dan boleh diakses oleh orang awam, Zarul menjawab ‘ya’.
Berdasarkan pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 64, didakwa sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan sebanyak 10% daripada keuntungan akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah untuk membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik bagi projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan kerana menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju yang berkaitan dengan projek terowong dasar laut di negeri itu.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar, pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.