
Che Lodin Wok Kamaruddin memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau telah mengenali bekas perdana menteri itu selama 40 tahun, sejak Najib menjadi menteri besar Pahang.
“Saya berkhidmat selama setahun di bawahnya (semasa Najib menjadi menteri besar),” katanya merujuk kepada tempoh perkhidmatannya sebagai pengurus besar Perbadanan Pembangunan Bukit Fraser, iaitu sebuah agensi kerajaan Pahang.
Selepas berkhidmat di Perbadanan Pembangunan Bukit Fraser, Lodin kemudiannya menjadi timbalan pengurus besar Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada 1982. Beliau kemudiannya menjadi ketua pegawai eksekutifnya sehingga 2018.
Lodin juga pengarah urusan Kumpulan Boustead Holdings Bhd dari 2010 hingga 2018.
Beliau juga memberitahu LTAT dan Boustead adalah syarikat berkait Kementerian Pertahanan. Semasa berada di dua organisasi terbabit, Najib adalah menteri yang bertanggungjawab.
Najib menjadi menteri pertahanan sebanyak dua kali iaitu dari 1990 hingga 1995 dan dari 1999 hingga 2008.
“Kebanyakan interaksi kami adalah secara formal. Tidak boleh dikatakan kami rapat (secara peribadi).
“(Pada pemahaman saya) menjadi proksi bermakna (seseorang itu) menjaga kepentingan seseorang,” kata Lodin ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar mengenai hubungannya dengan Najib.
Lodin besar hati ditawarkan jawatan pengarah TIA
Lodin juga memberitahu mahkamah bahawa Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi datang menemuinya pada 2009 untuk bertanya sama ada beliau berminat untuk menjadi pengarah di Terengganu Investment Authority (TIA).
Beliau bagaimanapun mengakui tidak tahu banyak mengenai TIA ketika itu, kecuali kerajaan persekutuan mahu memperuntukkan sedikit dana bagi urusan minyak dan gas.
“Shahrol datang kepada saya dan memberi taklimat kepada saya tentang bahagian positif dan TIA akan disekutukan dan menjadi dana kekayaan negara.
“Bagi saya, ia kedengaran menarik dan ini (cadangan untuk jawatan pengarah) datang daripada perdana menteri, yang saya anggap sebagai satu penghormatan,” katanya sambil menambah bahawa beliau kemudiannya menerima surat pelantikannya yang ditandatangani Najib.
Kamal: Adakah anda rasa anda ‘terpaksa’ menerima tawaran ini (daripada Najib) kerana ia seperti arahan?
Lodin: Saya boleh menolak tetapi saya fikir rancangan ini baik untuk negara dan saya boleh menyumbang.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.
Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram ke atas dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.