
KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 262 orang daripada 81 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 87 daripada 23 keluarga pada 8 malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan seramai 251 orang daripada 76 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Telupid.
Sementara itu, seramai 11 keluarga daripada lima keluarga dipindahkan ke dua PPS di Paitan.
“Trend pemindahan mangsa di Paitan meningkat pada pagi ini manakala di Telupid kekal,” menurut kenyataan itu.
Telupid dan Paitan terletak di kawasan pedalaman Sabah yang masing-masing lebih 200km dan lebih 230km arah timur dari Kota Kinabalu.