Lagi akaun organisasi media disekat TikTok berkait kes cabul

Lagi akaun organisasi media disekat TikTok berkait kes cabul

TikTok mengesahkan ia memadam akaun beberapa organisasi media tempatan yang melanggar dasar keselamatan belianya.

tiktok
Mengikut garis panduan TikTok, akaun boleh disekat selamanya jika pengguna ‘memuat naik, mempromosi atau memudahkan eksploitasi belia atau bahan penderaan seksual kanak-kanak’. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
TikTok menyekat lebih banyak akaun organisasi media tempatan, langkah yang dipercayai ada kaitan liputan kes cabul di sebuah masjid di Batang Kali, Selangor.

Hasil pemeriksaan FMT mendapati akaun milik Bernama, Astro, Utusan dan Selangor TV disekat.

Sub-akaun milik organisasi media, termasuk FMT, turut disekat.

Kelmarin, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata TikTok menyekat 23 akaun, termasuk 18 akaun miilik organisasi media susulan liputan mereka berhubung kes cabul itu.

Beliau berkata TikTok memadam kandungan itu secara automatik.

Terdahulu, TikTok hari ini mengesahkan ia memadam akaun milik beberapa organisasi media tempatan kerana melanggar dasar keselamatan belianya.

TikTok dalam kenyataan berkata, akaun itu berkongsi imej didakwa kes cabul seorang kanak-kanak.

“Demi melindungi mangsa eksploitasi seksual kanak-kanak, kami tidak membenarkan rakaman, klip atau imej penderaan mereka.”

Garis panduan TikTok menyatakan akaun boleh disekat selamanya jika pengguna “memuat naik, mempromosi atau memudahkan eksploitasi belia atau bahan penderaan seksual kanak-kanak.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.