Kes pukul OKU: 5 didenda RM2,000, seorang minta bicara

Kes pukul OKU: 5 didenda RM2,000, seorang minta bicara

Enam individu ditahan berhubung kes tersebut dituduh di Mahkamah Majistret Kemaman pada Isnin lepas, menurut polis.

oku langgar kedai
Dilaporkan bulan lepas, seorang lelaki OKU berusia 47 tahun cedera dipercayai dipukul dan disepak beberapa individu di sebuah pasar tani di Kemaman.
PETALING JAYA:
Lima lelaki mengaku bersalah kerana sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dalam kejadian di sebuah pasar tani di Kemaman bulan lepas.

Ketua Polis Kemaman Mohd Razi Rosli berkata, enam individu ditahan berhubung kes tersebut dituduh di Mahkamah Majistret Kemaman pada Isnin lepas, dengan lima daripadanya mengaku bersalah, manakala seorang lagi meminta dibicarakan.

“Kesemua yang mengaku bersalah telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 setiap seorang dan mereka telah membayar denda tersebut,” katanya, lapor Sinar Harian.

Tambahnya, kesemua tertuduh sebelum ini disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Mohd Razi menasihati orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan spekulasi tidak benar.

“Pihak polis akan sentiasa memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang OKU mental berusia 47 tahun dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka kira-kira 9.30 pagi pada 17 Jan lepas, selepas motosikalnya terlanggar sebuah gerai jualan menyebabkan makanan terjatuh dan tumpah.

Mangsa dilaporkan cedera dipercayai dipukul dan disepak beberapa individu dipercayai peniaga serta pembeli di pasar tani itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.