
Timbalan Menteri Luar, Mohamad Alamin berkata, Malaysia tidak pernah mengiktiraf apa-apa tuntutan China di Laut China Selatan, berdasarkan peta 9-garis atau mana-mana peta yang diterbitkan oleh republik itu yang meliputi kawasan maritim negara.
Katanya, Putrajaya sentiasa mengambil berat terhadap keselamatan perairan negara di Laut China Selatan termasuk kawasan Beting Patinggi Ali.
“Kerajaan memantau rapat sebarang perkembangan dan situasi semasa di kawasan Beting Patinggi Ali dengan keterlibatan dan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan isu tersebut ditangani dengan segera dan efisien tanpa menimbulkan sebarang ketegangan di lapangan.
“Pendekatan kerajaan ini dilaksanakan melalui mekanisme untuk menyelaras tindakan-tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk menjamin keselamatan perairan Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Shahidan Kassim (PN-Arau) yang meminta kementerian luar menyatakan status rundingan diplomatik terkini dengan China berkenaan isu Beting Patinggi Ali dan adakah kerajaan sedar tindakan China mencerobohi kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif dan memastikan perkara itu tidak berulang.
Mohamad berkata, kerajaan Malaysia menerusi Majlis Keselamatan Negara, tentera laut dan udara, serta Maritim Malaysia sentiasa memberikan perhatian serius terhadap keselamatan di kawasan perairan negara termasuk rondaan pengawasan, pemantauan dan penguatkuasaan berterusan.
“Semua agensi penguatkuasa dan pemantauan maritim negara amat komited dalam memastikan kedaulatan, hak dan kepentingan negara adalah kekal terpelihara,” katanya.
Sebelum ini Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa Angkatan Tentera Malaysia mempunyai aset yang mencukupi untuk memantau kawasan pertikaian di sekitar Beting Patinggi Ali.
Pada Januari 2023, sebuah portal berita melaporkan kapal peronda kelas – Kedah milik Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Kelantan berada di perairan sekitar Beting Patinggi Ali untuk memantau kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan Malaysia yang kaya dengan sumber minyak dan gas.