
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching beri jaminan dua wakil kerajaan dalam lembaga 21 anggota itu tidak akan menjejaskan kebebasan majlis itu, kerana mereka mungkin daripada agensi media seperti RTM dan Bernama.
“Dua daripada 21 orang adalah peratusan kecil,” katanya ketika menggulung ucapan sebelum RUU diluluskan.
“Mengatakan bahawa MMM tidak lagi bebas hanya kerana dua wakil ini adalah memandang rendah integriti ahli lembaga pengarah yang lain, termasuk pengamal media, pemimpin industri dan ahli akademik.”
Teo berkata penyertaan wakil kerajaan adalah perlu kerana MMM adalah badan berkanun yang pada mulanya akan memerlukan pembiayaan kerajaan.
“Industri media sendiri, melalui jawatankuasa pro tem, meminta bantuan kewangan daripada kerajaan untuk beberapa tahun pertama operasi majlis.
“Oleh itu, wakil Kementerian Kewangan diperlukan untuk memastikan ketelusan dalam pengurusan dana,” katanya.
Teo menolak kebimbangan bahawa majlis itu boleh mengehadkan kebebasan akhbar, menegaskan ia akan melindungi wartawan.
“Sekiranya seorang wartawan dibawa ke mahkamah secara tidak adil, penemuan MMM mengenai pelaporan beretika boleh diambil kira dalam prosiding undang-undang,” katanya.
Beliau menambah MMM akan memperkenalkan mekanisme kilanan dan aduan untuk menyelesaikan pertikaian tanpa tindakan undang-undang yang mahal.
“Kami mahu MMM berfungsi sebagai badan kawal selia kendiri, mengeluarkan piawaian etika dan menyemak aduan. Ini akan memastikan organisasi media bertanggungjawab sambil melindungi wartawan daripada tindakan kerajaan sewenang-wenangnya,” kata Teo.
RUU itu mendapat sokongan majoriti wakil rakyat selepas dibahas 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.