
Katanya, antara reformasi fiskal itu melibatkan cukai 10% bagi barang bernilai rendah (LVG) yang diimport berharga RM500 dan ke bawah, serta penyasaran subsidi diesel.
“Pada masa ini, pelaksanaan HVGT masih ditangguh,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Anwar, yang juga perdana menteri, menjelaskan Putrajaya akan mengkaji kebolehlaksanaan dan pendekatan pengenaan cukai HGVT sebagai antara elemen dalam pelaksanaan langkah semakan semula kadar dan peluasan skop kenaan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST), sepertimana dicadangkan dalam Belanjawan 2025.
“Dasar dan perundangan bagi sebarang jenis cukai yang ingin diperkenalkan perlu dirangka dan digubal dengan teliti, termasuklah dasar dan perundangan bagi pelaksanaan HVGT agar lebih menyeluruh dan
cukai berkenaan dapat dilaksanakan dengan teratur dan cekap,” katanya.
Anwar berkata demikian menjawab Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang ingin tahu pelan khusus kerajaan berhubung kebolehlaksanaan HVGT.
Sebelum ini, HVGT dijadual berkuat kuasa pada 1 Mei 2024. Ia pada awalnya diumumkan dalam Belanjawan 2023 yang disemak dan diperincikan lagi setahun kemudian.
Ia menyasarkan kenaan cukai 5% hingga 10% ke atas barangan mewah dan dijangka menjana tambahan pendapatan tahunan RM700 juta.
Namun, perincian cukai berkenaan termasuk kriteria barang dikenakan cukai dan liputan barang masih kecil, dengan hanya barang kemas dan jam tangan sahaja dinyatakan secara jelas setakat ini.