
Menurut beliau, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad memaklumkan perkara itu kepada sekumpulan Ahli Parlimen dan senator yang menemuinya untuk membincangkan isu penjagaan kesihatan yang mendesak.
“Penangguhan ini akan membantu menyelesaikan beberapa isu mengenai tambahan tiga jam per minggu di bawah sistem baharu itu,” katanya kepada FMT, yang menambah pandangan jururawat dan pihak lain diambil kira.
Lingeswaran, yang juga bekas pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang, menambah kumpulan wakil rakyat itu akan meneruskan usaha memastikan jururawat tidak terbebani kerana dasar yang tidak adil.
Sebelum ini, Dzulkefly dilapor berkata tambahan tiga jam per minggu itu dilihat ‘munasabah’, dan kebajikan mereka akan lebih terjaga menerusi syif yang lebih fleksibel.
Minggu lalu, FMT melaporkan Kesatuan Jururawat Malaya berusaha menghentikan penambahan ke atas waktu kerja 42 jam seminggu.
Presiden Saaidah Athman, yang mengetuai serahan memorandum kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Radzi Abu Hassan, berkata akibatnya ke atas sektor penjagaan adalah serius.
Arahan itu, yang diterbitkan Jabatan Perkhidmatan Awam pada November, menyatakan jururawat di wad perlu bekerja tambahan tiga jam per minggu.
Ia sepatutnya dilaksanakan pada 1 Dis, tetapi ditangguhkan ke 1 Mac tahun ini susulan bantahan.
Saaidah berkata pada masa ini terdapat 90,000 jururawat di hospital awam dan klinik kesihatan — kira-kira 9,000 kurang daripada jumlah yang diperlukan.
Menurutnya, menambah tiga jam per minggu ke atas jururawat yang sudah terbeban akan menyaksikan penghijrahan keluar besar-besaran dari hospital kerajaan.
Saaidah berkata ramai jururawat berpengalaman berpindah ke sektor swasta atau ke negara lain seperti Singapura dan Timur Tengah di mana gaji lebih tinggi.