Tuduhan kabur, ibu bapa Zayn Rayyan dinafi perbicaraan adil, mahkamah diberitahu

Tuduhan kabur, ibu bapa Zayn Rayyan dinafi perbicaraan adil, mahkamah diberitahu

Peguam Haresh Mahadevan berkata keadaan itu menyebabkan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf berdepan perbicaraan dengan 'serangan hendap'.

ibu bapa parents zayn rayyan
Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya Ismanira Abdul Manaf didakwa mengabaikan anak mereka Zayn Rayyan, sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak itu pada 5 hingga 6 Dis 2023. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin tidak mendapat perbicaraan adil kerana pertuduhan mengabaikan anak autistik yang dikenakan terhadap pasangan itu kabur dan cacat, Mahkamah Tinggi diberitahu.

Peguam Marcus Lee berkata, Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah mewajibkan kertas pertuduhan mengandungi butiran mengenai bagaimana kesalahan yang didakwa itu dilakukan.

Beliau berkata, dalam kes ini tempoh yang dinyatakan dalam pertuduhan mendakwa kesalahan dilakukan antara tengah hari 5 Dis 2023 hingga 9.55 malam keesokan harinya, iaitu lebih 30 jam.

“Pihak pendakwaan tidak menyatakan sebarang ‘actus reus’ (tindakan atau kelakuan) yang dilakukan oleh pemohon yang bersifat cuai,” katanya dalam hujah di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.

Lee berkata, perkara itu menyebabkan pemohon, Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, tidak tahu mengenai jenis kesalahan yang dituduh dan tempoh sebenar ia didakwa berlaku.

“Mereka berdepan keseluruhan perbicaraan dalam keadaan ‘diserang hendap’ dan boleh dikatakan tidak diberikan hak untuk perbicaraan yang adil,” katanya.

Lee yang dibantu Lavanesh Haresh berkata, hujahan pendakwaan bahawa butiran kecuaian boleh dibuktikan semasa perbicaraan adalah tidak berasas.

“Tuduhan ini kekurangan ramuan,” katanya.

Zaim dan Ismanira yang kedua-duanya berusia 30 tahun memohon mahkamah untuk membatalkan tuduhan itu dan membebaskan mereka.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, meminta mahkamah menolak permohonan tersebut kerana perbicaraan sudah berada di peringkat lanjutan.

Raja Zaizul berkata, setakat ini pendakwaan telah memanggil 20 saksi dengan 10 lagi bakal memberi keterangan sebelum kes ditutup.

Beliau berkata, tidak munasabah bagi ibu bapa ini mendakwa pertuduhan tidak jelas, memandangkan sesi soal balas ke atas saksi pendakwaan telah dijalankan secara mendalam sepanjang perbicaraan.

“Sekiranya tuduhan cacat, bagaimana pihak pembelaan boleh melakukan pemeriksaan balas secara terperinci terhadap saksi kami?” soalnya.

Raja Zaizul yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, berkata cara sebenar kesalahan itu dilakukan akan didedahkan apabila kes pendakwaan dibentangkan sepenuhnya.

“Pada peringkat pendakwaan, kami hanya perlu membuktikan semua elemen kesalahan,” katanya, sambil menegaskan bahawa notis yang mencukupi diberikan kepada tertuduh seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 152 dan 153 Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau juga memaklumkan bahawa pada 3 Feb lalu, pihak pembelaan mencabar kesempurnaan pertuduhan sebelum perbicaraan bermula, tetapi bantahan awal itu ditolak oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Syahliza Warnoh.

Roszianayati dijadual membuat keputusannya pada 4 Mac.

Zaim dan Ismanira sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 13 Jun tahun lalu atas pertuduhan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan, yang berusia enam tahun.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000, penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023 sebelum mayatnya ditemui di anak sungai berhampiran kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai, keesokan harinya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh selepas bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan di leher dan badan, konsisten dengan tindakan mempertahankan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.