Tak mustahil Umno kembali dominan di Sabah, kata pemimpin

Tak mustahil Umno kembali dominan di Sabah, kata pemimpin

Ketua Penerangan Suhaimi Nasir berkata tidak mustahil Umno kembali dominan ambil kira kebangkitan sokongan rakyat dan akar umbi parti menjelang PRN17.

Pengalaman luas BN mentadbir Sabah selama 24 tahun sejak 1994 diyakini mampu bawa kestabilan dan pembangunan kepada rakyatnya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tidak mustahil Umno Sabah kembali menjadi dominan dalam arena politik tempatan pada PRN17, mengambil kira kebangkitan jentera dan sokongan rakyat ketika ini, dakwa seorang pemimpin parti.
Suhaimi Nasir.

Ketua Penerangan Suhaimi Nasir berkata pengalaman luas Barisan Nasional (BN) yang pernah mentadbir Sabah selama 24 tahun sejak 1994 juga diyakini mampu membawa kestabilan dan pembangunan kepada rakyat negeri itu.

Katanya, keyakinan itu diperkuatkan lagi dengan gesaan Presiden Umno Zahid Hamidi baru-baru ini yang mahu parti itu kembali dominan di Sabah.

“Kenyataan itu bukan sekadar aspirasi, tetapi satu seruan perjuangan yang mesti kita sahut dengan penuh keyakinan dan kesungguhan.

“Kita yakin dengan kebangkitan semula semangat perjuangan, kekuatan jentera parti, serta sokongan rakyat, kita mampu mengembalikan kegemilangan itu,” katanya dalam kenyataan.

Pada sambutan ulang tahun ke-34 Umno Sabah di Tawau, Ahad lalu, Zahid yang juga pengerusi BN, berkata Umno perlu dominan pada PRN17 bagi memastikan lebih banyak pembangunan dan kemajuan dapat dilaksanakan di negeri itu.

Suhaimi yang Ahli Parlimen Libaran, berkata PRN17 bakal menjadi titik penting dalam perjuangan Umno dan BN di negeri itu, untuk meyakinkan pengundi bahawa BN adalah wadah terbaik dalam membela nasib rakyat Sabah.

“Dengan kekuatan akar umbi, pengalaman kepimpinan dan hala tuju yang jelas, kita akan kembali sebagai parti dominan di Sabah.

“Umno-BN Sabah tidak akan pernah mengalah,” katanya.

BN berada dalam blok pembangkang di Sabah selepas parti itu diketuai Bung Moktar Radin menarik sokongan daripada pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Nor pada Januari 2023 menerusi Langkah Kinabalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.