Selalu buat perhimpunan akan ganggu perniagaan, kata peniaga Jalan TAR

Selalu buat perhimpunan akan ganggu perniagaan, kata peniaga Jalan TAR

Pemilik kedai dan gerai menggesa kerajaan berbincang dengan mereka sebelum meminda Akta Perhimpunan Aman 2012.

lawan rasuah
Peniaga di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman berpendapat memudahkan perhimpunan diadakan di lokasi seperti pusat beli-belah Sogo akan mengakibatkan pembeli beralih ke lokasi lain.
KUALA LUMPUR:
Perancangan Putrajaya untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 supaya memudahkan perhimpunan diadakan, tidak diterima baik peniaga di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, lokasi popular protes dan perarakan di ibu negara.

Peniaga yang ditemui FMT bimbang melonggarkan peraturan bagi mengadakan perhimpunan mungkin akan membawa kepada lebih banyak penganjuran di kawasan itu. Ini dibimbangi mengakibatkan pelanggan menjauhkan diri seterusnya menggugat perniagaan mereka.

Zailan Mokhtar.

Peniaga pakaian Zailan Mokhtar, 53, menggesa supaya perhimpunan aman tidak lagi dikaitkan dengan jalan berkenaan kerana melihat ia boleh menjadi penghalang kepada pelanggan untuk datang.

“Ramai pelanggan datang ke sini bersama anak-anak, malah ada yang membawa ibu bapa yang sudah tua.

“Perhimpunan seperti itu, dengan orang ramai memegang papan tanda dan melaungkan slogan boleh menyebabkan keresahan.

“Mereka akan mencari tempat lain untuk membeli-belah sekiranya perhimpunan kerap di adakan di sini,” katanya.

Zailan menggesa kerajaan berbincang dengan komuniti peniaga di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum meminda Akta Perhimpunan Aman.

“Tidak mengapa jika mereka mahu membantu penganjur perhimpunan, tetapi biarlah mereka berhimpun di tempat lain,” katanya.

Zainol Abidin.

Peniaga Zainol Abidin, 38, berkata perniagaan mereka ketika ini sukar, dan lebih banyak perhimpunan hanya akan memburukkan lagi keadaan.

“Jika ada perhimpunan, peniaga kecil secara kolektif mampu rugi sehingga RM20,000 dalam sehari. Hujung minggu paling penting untuk kami, kerana ada pasar malam menarik pengunjung.

“Jika perhimpunan diadakan pada hari-hari itu, ini akan mengakibatkan pembeli lari,” katanya.

Addy.

Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Addy, menggesa supaya kerajaan berbincang dengan golongan peniaga di kawasan berkenaan.

“Ada perniagaan kecil dan besar di sini. Jika perhimpunan menjadi semakin kerap selepas akta itu dipinda, semuanya akan terkesan,” kata peniaga berusia 40 tahun itu.

Pada 13 Feb, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju meminda undang-undang untuk memudahkan pelaksanaan keputusan daripada kumpulan yang ingin mengadakan perhimpunan aman.

Antara pindaan termasuk mengeluarkan keperluan untuk mendapat persetujuan penghuni bagi penganjuran perhimpunan seperti di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman.

Kerajaan telah memberi moratorium terhadap seksyen berkenaan.

Jalan Tuanku Abdul Rahman, berhampiran Dataran Merdeka, menjadi lokasi pusat beli-belah Sogo dan pelbagai kedai menjual bermacam-macam barangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.