Pemilihan DAP: Ramkarpal ‘masuk gelanggang’, Kasthuri cuba pertahan kerusi CEC

Pemilihan DAP: Ramkarpal ‘masuk gelanggang’, Kasthuri cuba pertahan kerusi CEC

Kedua-dua tokoh ini dahulunya dikenali sebagai penyokong setia Lim Guan Eng, namun tidak diketahui sama ada mereka telah beralih arah.

Ramkarpal Singh mendapat undi terbanyak pada pemilihan DAP Pulau Pinang September lepas, manakala Kasthuri Patto mendapat tempat ke-25 pada pemilihan CEC 2022.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh akan bersaing dalam perebutan kerusi Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) pada pemilihan DAP bulan depan, manakala bekas Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto akan cuba mempertahankan kerusinya.

Kedua-dua tokoh ini dahulunya dikenali sebagai penyokong setia pengerusi parti, Lim Guan Eng, namun tidak diketahui sama ada mereka telah beralih arah.

Abangnya, Gobind Singh Deo, yang juga Ahli Parlimen Damansara dan menteri digital dijangka turut menawarkan diri untuk bertanding. Jika disahkan, ini akan menjadikan mereka pasangan adik-beradik kedua yang bersaing untuk menganggotai CEC.

Sepasang lagi adik beradik yang bersaing ialah Guan Eng dan adiknya, Hui Ying, Ahli Parlimen Tanjung dan timbalan menteri kewangan.

Guan Eng dan Hui Ying ialah anak veteran DAP Lim Kit Siang, manakala Ramkarpal dan Gobind anak kepada seorang lagi tokoh parti, Karpal Singh.

Ramkarpal mengesahkan keputusannya untuk bertanding kepada FMT, berkata beliau pernah bertanding merebut kerusi CEC sekali tetapi kalah.

Beliau mencipta kejutan pada pemilihan DAP Pulau Pinang September lepas apabila mendapat undi terbanyak dalam kalangan 15 ahli jawatankuasa yang dipilih, mendahului Steven Sim yang akhirnya dipilih sebagai pengerusi. Ramkarpal kemudian menjadi timbalan pengerusi.

Kasthuri, anak kepada P Patto yang pernah berjuang bersama Kit Siang dan Karpal pada 1970an dan 80an, berkata beliau mengharapkan DAP jadi lebih inklusif, menyediakan platform untuk semua suara didengari.

“Saya yakin formula keterangkuman akan mendorong DAP tampil sebagai parti untuk semua rakyat Malaysia, daripada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau juga berkata, parti itu mesti sentiasa mengenang sumbangan, pengorbanan dan tindakan tidak mementingkan diri bapanya, Kit Siang, Karpal dan Dr Chen Man Hin.

Mereka juga harus menghargai pemimpin veteran yang memberi laluan kepada pasukan yang lebih muda dan komited untuk memimpin parti, tambahnya.

“Walaupun mungkin ada perbezaan antara kita, penting untuk kita ketepikannya dan bekerjasama bawah satu bendera DAP – bersatu, kuat, tabah dan berazam untuk merealisasikan impian Malaysia,” katanya.

Kasthuri ialah timbalan setiausaha parti bagi hal ehwal antarabangsa dan pengerusi Jawatankuasa Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Perkeso.

Beliau juga mewakili Parlimen Batu Kawan selama dua penggal dari 2013 hingga 2022, tetapi enggan mempertahankan kerusinya pada PRU lepas berikutan perselisihan faham dengan beberapa pemimpin di negeri itu.

Beliau menduduki tempat ke-25 pada pemilihan parti 2022 dan dijangka menang sekali lagi kerana bawah perlembagaan DAP, sembilan daripada 30 ahli CEC yang dipilih mestilah wanita.

Kira-kira 15 wanita dijangka bertanding, termasuk Hui Ying; Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok; Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin; dan Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi.

Ahli Parlimen Lanang Alice Lau, yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat; Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong; Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid; serta Adun Damansara Utama Jamaliah Jamaluddin akan turut bertanding.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.