Jangan pakai baju parti politik, peserta solidariti Diraja Pahang diberitahu

Jangan pakai baju parti politik, peserta solidariti Diraja Pahang diberitahu

Setiausaha Kerajaan Pahang Zulkifli Yaacob berkata peserta juga diminta tidak menimbulkan sebarang provokasi boleh cetuskan suasana tidak harmoni.

masjid negeri nampak padang di Kuantan masjid Majlis Bandaraya Kuantan
‘Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat’ akan diadakan di masjid negeri dan padang MBK1 di Kuantan, Khamis ini. (Gambar Majlis Bandaraya Kuantan)
PETALING JAYA:
Kerajaan Pahang melarang orang ramai mengenakan pakaian berlambangkan atau mewakili mana-mana parti politik pada ‘Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat’ di Kuantan, Khamis ini.

Setiausaha Kerajaan Pahang, Zulkifli Yaacob, berkata peserta juga diminta tidak menimbulkan provokasi yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni pada program dianjurkan kerajaan negeri untuk menunjukkan solidariti rakyat terhadap institusi Diraja Pahang.

Katanya, program itu manifestasi kepada penyatuan rakyat Pahang tanpa mengira latar belakang, kaum, agama dan fahaman politik yang bernaung di bawah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Zulkifli Yaacob
Zulkifli Yaacob.

Zulkifli berkata, Al-Sultan Abdullah berkenan ke program di masjid negeri bermula dengan solat maghrib, solat hajat, solat isyak, bacaan Yasin dan doa selamat.

“Seterusnya program akan diteruskan di padang MBK (Majlis Bandaraya Kuantan) 1 dengan ceramah oleh Timbalan Mufti Pahang Badli Shah Alauddin.

“Orang ramai dijemput hadir dan digalakkan memakai pakaian kebangsaan. Sebarang pemakaian berlambangkan atau mewakili mana parti politik tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, polis Pahang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kawalan sepanjang program itu.

“Orang ramai diminta tidak menimbulkan sebarang provokasi boleh mencetuskan suasana tidak harmoni,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.