
Persatuan itu berkata, walaupun ahli hospital secara konsisten memberikan ‘diskaun munasabah kepada penyedia, diskaun terlalu tinggi tidak mampan dan akan menjejaskan kualiti penjagaan diharapkan pesakit mereka’.
“Sebagai hospital swasta, misi utama adalah menyediakan penjagaan kesihatan terbaik kepada pesakit kami.
“Kami berusaha meminimumkan kelewatan yang mampu menjejaskan kesihatan pesakit, sambil menawarkan teknologi perubatan, kepakaran, dan perkhidmatan termaju pada tahap global.
“Bagi mengekalkan tahap penjagaan setaraf, ahli hospital APHM melabur semula keuntungan tahunan bagi teknologi dan infrastruktur terbaharu, di mana kami percaya penting bagi pengukuhan rawatan pesakit melalui prosedur kurang invasif dan meningkatkan kadar kelangsungan hidup,” katanya dalam kenyataan.
Presiden APHM, Kuljit Singh, berkata meskipun ahli hospital persatuan telah menjadi panel insurans sekian lama, diskaun diminta oleh penyedia meningkat terlalu ketara sejak 12 bulan lalu atau lebih.
“Kami sentiasa mencuba yang terbaik membantu syarikat insurans sedaya kami dan membayar tuntutan mereka jika ia berpatutan.
“Namun, pesakit pastinya menjadi keutamaan kami. Kami tidak boleh membuat penjimatan yang akhirnya mengundang bahaya kepada pesakit,” katanya.
APHM berkata, pesakit masih boleh mendapatkan rawatan di hospital swasta dikeluarkan daripada senarai panel insurans, tetapi perlu mengeluarkan bayaran sendiri terlebih dulu dan kemudian membuat tuntutan insurans.
Ini kerana, hospital berkenan tidak lagi menerima kemudahan surat jaminan daripada syarikat insurans.
Persatuan itu berkata, ketika ini berlaku perbincangan dengan Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia, dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, bagi mencapai penyelesaian terhadap inflasi perubatan.