
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata pihaknya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang berhubung dengan TikTok bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu tersebut.
“Bukan 18 tapi 23 akaun media sosial TikTok telah disekat, setakat ini mereka (TikTok) memaklumkan kemungkinan besar ia berkait video yang dimuat naik berkaitan kejadian cabul kanak-kanak di sebuah masjid di Batang Kali baru-baru ini,” katanya pada sesi penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat.
Terdahulu, dilaporkan SKMM sedang berhubung dengan TikTok bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu 18 akaun TikTok organisasi media tempatan yang disekat.
Dalam pada itu, Fahmi berkata pihak media juga sudah membuat penjelasan bahawa wajah kanak-kanak tersebut tidak disiarkan selaras etika.
“Bagi pihak media mereka merasakan tidak ada apa-apa kesalahan. Mereka tak tunjuk wajah kanak-kanak perempuan tersebut tapi video secara automatik disekat, kemungkinan juga disebabkan kecerdasan buatan (AI) yang digunakan.
“Jadi, bagi saya perlu ada intervensi dan di sini hasrat kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi untuk pastikan platform ini (TikTok) memahami kod etika dipegang media di Malaysia dan kita minta mereka lakukan penyesuaian nanti,” katanya.