Siasatan terhadap 4 bekas pegawai Ismail masih peringkat awal, kata SPRM

Siasatan terhadap 4 bekas pegawai Ismail masih peringkat awal, kata SPRM

SPRM minta orang ramai beri ruang kepadanya menjalankan siasatan secara adil, telus dan profesional.

macc
Semalam, media melaporkan empat bekas pegawai terbabit direman tiga ke lima hari susulan penahanan SPRM.
PETALING JAYA:
Siasatan terhadap empat bekas pegawai kanan perdana menteri ke-9 Ismail Sabri Yaakob masih di peringkat awal, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Susulan itu, SPRM belum boleh mendedahkan hasil penemuan berhubung kes termasuk nilai wang atau aset yang dijumpai dan tidak menolak kemungkinan ada beberapa saksi lain dipanggil bagi membantu siasatan.

“Untuk makluman, siasatan terhadap keempat-empat suspek dijalankan bawah Seksyen 16a Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) masih di peringkat awal.

“Justeru, SPRM meminta orang ramai untuk memberi ruang kepada suruhanjaya ini menjalankan siasatan secara adil, telus dan profesional,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, media melaporkan empat pegawai terbabit direman tiga ke lima hari susulan penahanan SPRM.

Sumber berkata, perintah reman dikeluarkan Mahkamah Putrajaya lima hari bermula Jumaat lalu untuk tiga individu, manakala seorang lagi direman tiga hari dan dibebaskan semalam.

Sementara itu, SPRM berkata pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini kepada masyarakat mengenai siasatan dijalankan dan berharap orang ramai tidak membuat spekulasi mengenainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.