
Langkah itu juga bagi mengurangkan kebergantungan terhadap geran kerajaan.
Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata isu berterusan membabitkan SWCorp menjadi antara fokus utama dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2023 bagi penyata kewangan agensi persekutuan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
“Kemampuan SWCorp menampung kos operasi dan komitmen kewangan pada masa hadapan adalah bergantung kepada tambahan bantuan kewangan kerajaan persekutuan (isu berterusan),” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan laporan LKAN itu, SWCorp direkodkan mempunyai liabiliti bersih berjumlah RM140.15 juta disebabkan pemiutang syarikat konsesi dan perbelanjaan terakru yang tinggi berbanding jumlah aset sedia ada.
Agensi itu menerima geran RM1.545 bilion pada 2023 yang meningkat berbanding RM1.498 bilion (2022) dan RM1.487 bilion (2021).
Menurut LKAN, syarikat itu turut menjadi antara lima agensi persekutuan merekodkan kerugian berturut-turut dalam tempoh tiga tahun iaitu RM60.75 juta (2021), RM87.19 juta (2022) dan RM53.9 juta (2023).
“Keadaan itu berlaku disebabkan peningkatan perbelanjaan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam,” katanya.
Agensi lain adalah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Sehubungan itu, Wan Suraya mencadangkan agensi persekutuan terbabit memperkasa usaha penjanaan hasil bagi memastikan berupaya meneruskan operasi berdasarkan usaha berterusan dan mengurangkan kebergantungan terhadap geran kerajaan selain mengoptimumkannya.
“Mengkaji semula hala tuju dan pelan perniagaan syarikat subsidiari yang mengalami kerugian tiga tahun berturut-turut dan tidak memberikan pulangan sewajarnya.
“Menilai dan memberi pertimbangan untuk menutup syarikat subsidiari berstatus dorman atau tidak aktif melebihi lima tahun supaya tidak membebankan agensi persekutuan,” katanya.