
Wanita berusia 73 tahun yang juga pesara swasta mula membuat pelaburan berkenaan bermula November lalu.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata mangsa melabur selepas melihat pelaburan saham di Facebook, kemudian dimasukkan dalam kumpulan Whatsapp ditadbir individu dikenali ‘Alya’ dan ‘Christopher’.
“Mangsa dijanjikan pulangan lumayan sebanyak 8% hingga 10%.
“Bagi tujuan pelaburan tersebut mangsa telah diminta membuat 62 transaksi bayaran melibatkan 10 akaun bank berbeza berjumlah RM4 juta,” katanya dalam kenyataan, sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Katanya, mangsa hanya sedar ditipu apabila diminta membuat pelbagai bayaran tambahan jika hendak mengeluarkan keuntungan.
“Modus operandi suspek adalah dengan memperdayakan mangsa melalui iklan pelaburan di aplikasi media sosial Facebook,” katanya.
Hussein menasihatkan masyarakat umum sentiasa waspada terhadap tawaran pelaburan platform media sosial menjanjikan pulangan tidak munasabah.
Orang ramai diminta merujuk Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi mendapatkan pengesahan sama ada aplikasi kewangan mahupun pelaburan adalah sah.
Andai mengesyaki sebarang panggilan mencurigakan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan.